Sunday, June 27, 2010

PENJELASAN MENGENAI HADITH DHAIF (BAHAGIAN 1)

OLEH SYEIKH MUHAMMAD ZAKI IBRAHIM – MUHADDITH AZHAR ASY-SYARIF
Antara perkara bid’ah yang agak buruk yang sering terhambur melalui kata-kata mereka yang terlalu ghairah mendakwa sebagai pejuang sunnah, tauhid dan tajdid ialah keterlaluan dalam mempertikaikan hadith da’if sehingga menimbulkan tanggapan bahawa hadith da’if adalah hadith yang bathil dan dusta. Mereka menganggap beramal dengan hadith da’if sebagai perkara yang keji dan fasik.

Disiplin ilmu sebenarnya bukan begitu. Ini kerana hadith da’if ada ruang dan peranannya yang diterima dari sudut syarak. Meletakkkan hadith da’if bagaikan seperti hadith maudhu’ (palsu) termasuk dalam ertikata kezaliman terhadap ilmu dan agama. Ini kerana hadith da’if ialah hadith yang tidak memenuhi dengan lengkap syarat-syarat hadith sahih. Dengan kata lain, ada kesahihan dalam hadith tersebut akan tetapi ia tidak sempurna. Oleh kerana itulah para ulama memasukkannya dalam senarai hadith maqbul (diterima), bukannya hadith yang ditolak dalam segenap segi. Lantaran itu sesetengah ulama menggalakkan beramal dengan hadith da’if pada tempatnya.

Saya tahu kenyataan ini tidak disenangi oleh sesetengah orang, namun mencari redha Allah lebih berkewajipan walaupun tidak disenangi oleh sebahagian orang.
Kitab-kitab yang memuatkan hadith sahih amat banyak. Hadith-hadith sahih bukanlah semata-mata hadith yang dikumpulkan oleh Imam al-Bukhari atau Imam Muslim sahaja.
Saya tidak menemui adanya nas dalam agama Allah atau pun isyarat yang menunjukkan pembatasan hadith sahih terhadap kedua-dua kitab ini sahaja. Membataskan penerimaan hadith sahih setakat kedua-dua kitab ini sahaja merupakan satu bentuk kefanatikan dan keraguan terhadap ilmu tanpa berdasarkan ilmu pengetahuan.

Dalam kitab Huda al-Abrar ‘Ala Tal’ati al-Anwar dan kitab Idha’ah al-Halik yang ditulis oleh Imam Ibn al-Hajj al-‘Alawi, kitab al-Jami’ oleh Safiyuddin al-Hindi dan kitab al-Minhal al-Latif serta kitab-kitab lainnya ada menyebutkan: Kitab-kitab yang mana kesemua hadith yang termuat di dalamnya dinisbahkan sebagai hadith sahih menurut kesepakatan jumhur ahli hadith ialah:

1. Sahih al-Bukhari
2. Sahih Muslim
3. Al-Muwatta’ Imam Malik
4. Al-Muntaqa Ibn Jarun
5. Sahih Ibn Khuzaimah
6. Sahih Ibn Awwanah
7. Sahih Ibn as-Sakan
8. Sahih Ibn Hibban
9. Mustadrak al-Hakim (setelah dibuat pengesahan melalui hafalan semula oleh az-Zahabi dan al-Iraqi).
10. Kitab al-Mustakhrajat yang sedia maklum dikalangan alim ulama.

Kesemua kitab ini yang sedia dimaklumi di kalangan ulama hanya memuatkan hadith yang sahih. Selain daripada kitab-kitab ini, terdapat hadith yang sahih, hasan dan da’if.
Menurut kaedah (ahli hadith) dalam menisbahkan sesuatu hadith kepada perawinya tidak boleh didahulukan nama lain selain Bukhari (sekiranya hadith terbabit ada diriwayatkan oleh Bukhari). Sekiranya hadith tersebut ada dimuatkan dalam Bukhari dan Muslim mereka turut menyebutkan nama Muslim disebabkan ketelitiannya dalam menyaring lafaz yang benar-benar diucapkan oleh Nabi.

Oleh itu pandangan yang memestikan berpegang dengan hadith yang terdapat dalam sahih Bukhari dan Muslim semata-mata dengan anggapan hanya kedua-dua kitab ini sahaja yang memuatkan hadith yang sahih, bukannnya pandangan yang bersandarkan kepada ilmu atau agama.

PEMBAHAGIAN HADITH
Ahli hadith bersepakat bahawa ada tiga pembahagian hadith yang paling penting iaitu:
1. Hadith Sahih: Berada pada kedudukan teratas
2. Hadith Hasan: Berada pada kedudukan pertengahan
3. Hadith Da’if: Berada pada kedudukan paling bawah, kerana ia tidak mencukupi syarat-syarat hadith Hasan.

Adapun hadith maudu’ (palsu) maka ia terkeluar daripada skop yang kita bincangkan, kerana ia adalah satu kekejian. Ia tidak boleh diterima dengan kesepakatan semua ulama.

Hadith Da’if Terbahagi Kepada Dua:
Pertama
Keda’fannya boleh ditampung (diperkuatkan) apabila terdapat hadith da’if yang sama tetapi melalui jalan-jalan periwayatan yang lain. Syaratnya perawi yang da’if itu lemah dari sudut daya hafalannya, atau keda’ifanya disebabkan periwayatan secara mursal (iaitu tidak disebutkan nama sahabat Nabi dalam rangkaian sanad).
Dalam hal ini, apabila terdapat hadith yang sama kandunganya melalui jalan-jalan periwayatan yang lain, maka hadith tersebut naik martabatnya kepada hadith hasan lighairih (iaitu bertaraf hasan disebabkan adanya riwayat yang lain). Oleh itu ia termasuk dalam senarai hadith makbul (diterima) dan boleh dibuat hujjah sehinggakan dalam soal hokum hakam.

Kedua
Keda’ifannya tidak boleh ditampung, walaupun terdapat banyak jalan periwayatannya. Ia dinamakan sebagai al-wahi (sangat lemah). Hal ini berlaku sekiranya perawi itu ternyata seorang yang fasik atau dituduh berbohong.

Para ulama mengatakan:

Hadith yang seperti ini jika diperkukuhkan dengan bukti-bukti dan riwayat-riwayat yang lain, maka tarafnya naik melebihi daripada taraf hadith munkar atau hadith yang tidak ada asalnya. Pada ketika itu ia boleh diamalkan dalam soal fadhilat-fadhilat amal. Ia tidak boleh diamalkan dalam hal-hal akidah dan hokum-hakam. Sesetengah ulama mengatakan ia juga tidak boleh dijadikan rujukan untuk pentafsiran al-Quran.
Dengan itu, menerima pakai hadith da’if dalam segala jenis amalan yang berbentuk menggemar dan menakutkan, adab, sejarah, ketatasusilaan, kisah tauladan dan seumpamanya adalah dibolehkan.

Perkara ini telah disepakati (ijma’) oleh para ulama seperti yang dinukilkan oleh Imam an-Nawawi, Ibn Abdul Barr dan selain mereka. Malah Imam Nawawi menukilkan pandangan ulama bahawa dalam hal-hal tersebut disunatkan beramal dengan hadith da’if. (perkara yang sunat termasuk dalam himpunan Usuluddin dan hukum-hakam syarak).

Kami mengatakan

Penerimaan hadith da’if dalam perkara-perkara terbabit bersyaratkan jangan terlalu kuat keda’ifanya. Ia hendaklah dijadikan sebagai asas yang termasuk dalam kaedah syarak yang menyeluruh, dan jangan pula hadith tersebut bercanggah dengan hadith yang sahih. Ini merupakan pandangan Ibnu Hajar, As-Sakhawi dan selainnya.

No comments:

Post a Comment