Saturday, September 26, 2009

SAYURAN MALAYSIA KE DUBAI

Oleh Abdul Muin Abdul Majid




DUBAI, 21 Ogos (Bernama) -- Malaysia mengeksport buah-buahan dan sayur-sayuran bernilai 3.3 juta dirham (1 dirham = 96 sen) ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bagi tempoh Januari-Jun tahun ini dengan potensi untuk berkembang lagi.

Pesuruhjaya perdagangan Malaysia di UAE, Dzulkifli Mahmud berkata jumlah berkenaan mewakili 1.55 peratus jumlah eksport buah-buahan dan sayur-sayuran Malaysia di seluruh dunia.

"Sektor buah-buahan dan sayur-sayuran Malaysia mempunyai prospek yang baik untuk meningkatkan eksport ke UAE dan pasaran lain di rantau Teluk," katanya.

Pada 2008, eksport buah-buahan dan sayur-sayuran Malaysia ke UAE bernilai 7.51 juta dirham.

Dzulkifli berkata UAE mengimport tomato bernilai 31.29 juta dirham tahun lepas.

Malaysia, kata beliau berada di tempat ke lapan dalam senarai pengeksport tomato segar atau sejuk ke negara Teluk, dengan eksport bernilai 384,000 dirham.

"Penyertaan tetap pada pameran perdagangan dan lawatan jualan ke pasaran di rantau ini akan meningkatkan kesedaran mengenai produk Malaysia yang berkualiti di kalangan bakal pembeli," katanya.

Pesuruhjaya perdagangan itu berkata jumlah dagangan Malaysia-UAE mencecah 7.67 bilion dirham pada enam bulan pertama 2009, dengan eksport ke UAE berjumlah 4.99 bilion dirham dan import 2.68 bilion dirham.

No comments:

Post a Comment