Akhlak berasal dari kata bahasa Arab, akhlaq iaitu jamak taksir dari kata khuluq yang diertikan dengan istilah perangai atau kesopanan.
Para ulama Ilmu Akhlak merumuskan definisinya dengan pelbagai pandangan di antaranya ialah:
i) Al-Qurthuby mengatakan: "Suatu perbuatan manusia yang bersumber dari adab kesopanannya disebut akhlak, kerana perbuatan itu termasuk bahagian dari kejadiannya."
ii) Muhammad bin 'Ilaan Ash-Shadieqy mengatakan: "Akhlak adalah suatu pembawaan dalam diri manusia yang dapat menimbulkan perbuatan baik dengan cara yang mudah (tanpa dorongan dari orang lain)."
iii) Ibnu Maskawaih mengatakan: "Akhlak ialah keadaan jiwa yang selalu mendorong manusia berbuat tanpa memikirkannya (lebih lama)."
iv) Abu Bakar Jubir Al-Jazairy mengatakan: "Akhlak adalah bentuk kejiwaan yang tertanam dalam diri menusia yang menimbulkan perbuatan baik dan buruk, terpuji dan tercela dengan cara yang disengaja."
v) Dalam buku Ihyaa Ulumuddin mengikut Imam Al-Ghazali yang dimaksudkan dengan akhlak atau budi pekerti itu ialah tingkah laku dan gerak-geri lahiriah manusia yang timbul dengan mudah tanpa disengaja dan difikirkan, sebagai penyataan dari keadaan jiwa seseorang.
Jadi akhlak atau budi pekerti itu ialah tabiat, kebiasaan dan peri kemanusiaan atau perangai-perangai yang menerbitkan amal usaha dengan mudah, tingkah laku, tutur kata, sikap dan kelakuan. Jika perangai itu mulia, terbitlah daripadanya amal kebajikan tingkah laku yang sopan, tutur kata yang bagus dan sikap kelakuan yang menyenangkan. Akhlak yang baik itu hendaklah dipupuk dan dipelihara sehingga sebati dengan diri kita agar dapat dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari. Ianya dapat disempurnakan melalui latihan, kebiasaan dan pergaulan.
Menurut Imam al-Ghazali lagi akhlak yang mulia itu mengandungi empat (4) perkara, iaitu bijaksana, memelihara agama dari sesuatu yang tidak baik, keberanian (menundukkan kekuatan hawa nafsu) dan bersifat adil. Perkara ini jelas merangkumi sifat-sifat seperti berbakti kepada ibu bapa, keluarga dan negara, hidup bermasyarakat serta bersilaturahim, berani mempertahankan maruah agama, sentiasa bersyukur dan berterima kasih, reda dengan kesengsaraan, bercakap benar dan sebagainya. Masyarakat dan bangsa yang memiliki akhlak mulia adalah penggerak ke arah pembinaan tamadun dan kejayaan yang diredai oleh Allah Subhanahu Wataala.
Seperti kata pepatah seorang penyair Mesir, Syauqi Bei: "Hanya saja bangsa itu kekal selama berakhlak. Bila akhlaknya telah lenyap, maka lenyap pulalah bangsa itu."
Dalam kehidupan manusia, akhlak itu diumpamakan seperti bunga dalam sebuah taman. Bagaimanapun luas dan indahnya sebuah taman, tetapi kalau tidak dihiasi dengan bunga-bungaan, maka taman itu tidak jauh berbeza seperti tanah perkuburan. Sebagai contoh; seorang yang mempunyai badan yang sihat, perawakan yang gagah, tampan, menarik, berilmu, kaya atau berpangkat, tetapi jika dia mempunyai akhlak yang tercela dan perangai yang jahat, tidak ubahnya seperti muka yang cantik rupanya, tetapi di pipinya terguris memanjang tanda bekas luka. Kesan itulah yang menjatuhkan nilai-nilai yang asli.
Akhlak yang mulia atau hina adalah terbit daripada jiwa atau hati. Sebagaimana hadis riwayat al-Imam al-Bukhari Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging, apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan. Tetapi apabila ia buruk (rosak), buruk (rosak) pulalah seluruh badan. Ingatlah, ia adalah hati (jiwa)." Hadis ini menjelaskan hanya jiwa itu sendiri sahaja yang menjadi pendorong menggerakkan perbuatan yang baik atau tercela kerana ianya merupakan pusat yang menyebabkan terjadinya sesuatu kelakuan, perbuatan atau tindakan tingkah laku. Jika jiwanya itu baik, pastilah amalan dan tindakan yang dilahirkannya itu terpuji. Demikian pula apabila jiwa itu jahat, tindakan kelakuan yang timbul itu pun hina dan tercela.
Dalam menentukan sama ada akhlak, sikap, tindakan dan tingkah laku seseorang itu terpuji atau tercela, Islam telah memberikan kepada kita, sumber atau punca yang tetap benar dan mulia iaitu wahyu Allah subhanahu wataala sebagaimana yang tercantum dalam kitab suci al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam melalui perkataan, perbuatan dan pengakuan baginda. Kedua sumber inilah yang menentukan satu tingkah laku moral atau akhlak yang kekal, universal dan tetap terus-menerus benar, baik, mulia sepanjang masa dalam semua keadaan masa dan tempat.
Ulama akhlak menyatakan bahawa akhlak yang baik merupakan sifat para nabi dan orang-orang siddiq sedangkan akhlak yang buruk merupakan sifat syaitan dan orang-orang yang tercela.
Pendek kata, akhlak yang baik atau terpuji (Al-Akhlaqul mahmudah); iaitu perbuatan baik terhadap Tuhan, sesama manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Manakala akhlak yang buruk atau tercela (Al-Akhlaqul madzmumah) iaitu perbuatan buruk terhadap Tuhan, sesama manusia dan makhluk-makhluk yang lain.
Al-Quran adalah wahyu daripada Allah subhanahu wataala yang mengandungi petunjuk, pembimbing dan pembeza antara yang hak daripada yang batil dalam tiga bidang utama iaitu akidah, syarak dan pembentukan akhlak. Kesejagatan fungsi al-Quran dalam pencetusan akhlak yang terpuji bukanlah terhadap sekadar untuk orang Islam, malah untuk sekalian makhluk yang mengakui dirinya manusia.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 164 yang tafsirnya: "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah dari yang mungkar."
Maksud ayat ini menjelaskan bahawa bidang akhlak yang dihuraikan oleh al-Quran itu adalah secara terperinci dan mendalam yang mempunyai matlamat untuk keselamatan agama, jiwa, jasmani, keturunan dan harta benda. Konsep kebaikan dan kemungkaran yang telah dinyatakan dalam al-Quran itu tidak pernah bercanggah, malah amat bersesuaian dengan pemikiran akal manusia itu sendiri. Ini adalah untuk menjamin pencapaian maksima bagi kesejahteraan dan kebahagiaan hidup masyarakat manusia dalam memenuhi kehendak Allah subhanahu wataala yang telah melantik mereka sebagai khalifah-Nya di atas muka bumi ini.
Matlamat pengutusan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam itu sendiri adalah untuk membimbing manusia dalam penyempurnaan akhlak yang terpuji, kerana akhlak sahajalah yang merupakan tali penghubung dan pengikat yang dapat membulatkan seluruh tekad hati dan tingkah laku di dalam satu ikatan yang seragam dan serasi dengan naluri semula jadi manusia itu sendiri. Seperti firman Allah di dalam surah an-Naba ayat 7 yang tafsirnya: "Sesungguhnya engkau (hai Muhammad) mempunyai budi pekerti yang baik." Sebab itulah baginda dijadikan sebagai model yang sempurna untuk contoh teladan oleh sekalian manusia kerana akhlak dan budi pekertinya. Ciri-ciri akhlak seorang muslim itu ialah seperti berikut:
1) Beriman kepada Allah subhanahu wataala, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, malaikat-malaikat-Nya, hari kiamat serta qadak dan qadar-Nya.
2) Menerapkan rukun-rukun Islam dalam kehidupannya.
3) Taat yang tidak berbelah bahagi kepada Allah dan Rasul-Nya.
4) Mengerjakan suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya.
5) Berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.
6) Mencontohi akhlak yang baik dan meninggalkan akhlak yang tercela.
Berdasarkan keterangan ini dapatlah difahami bahawa akhlak adalah pembentuk keperibadian muslim. Untuk memiliki akhlak yang sempurna ini sebenarnya ia berpunca dari pendidikan dan alam persekitaran setiap individu itu. Seseorang itu akan terbentuk keperibadian dirinya mengikut pendidikan yang ia terima dan alam persekitaran yang dilaluinya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment