Sunday, February 8, 2009

MAULID

Dalil-dalil yang mengharuskan sambutan maulidurrasul.

Pertamanya perayaan sambutan maulidurrasul adalah satu gambaran kegembiraan kita pada Rasulullah SAW. Telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Shahihnya bahawa Abu Lahab diringankan azab nerakanya disetiap hari isnin atas sebab dia memerdekakan Thuwaibah, hamba sahayanya yang memberi khabar gembira padanya tentang kelahiran nabi Muhammad SAW.

Al Hafiz Syamsuddin Muhammad bin Nasiruddin Dimasyqi telah merangkapkan syair dalam kata-katanya tentang peristiwa tersebut: “sekiranya si kafir ini, yang dicela, celakalah kedua tangannya (di dalam surah al masad) yang kekal di dalam neraka, diringankan azabnya setiap hari isnin kerana kegembiraannya dengan kelahiran Nabi yang mulia. Maka apakah kira-kiranya dengan yang sepanjang hidupnya bergembira dengan Nabi Muhammad dan dalam agama tauhid pula matinya”.

Dan khabar riwayat ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab nikah hadith mursal, dan telah dinaqalkan oleh al Hafiz ibnu Hajar Asqalani di dalam Fathul Bhari, juga diriwayatkan oleh Imam Abdul Razaq as Son’aani dalam kitabnya al Munsif. Begitu juga al Hafiz Baihaqi di dalam Addalail dan Ibnu Kathir dalam Bidayah wan Nihayah, al Hafiz al Baghawi di dalam syarah as Sunnah, Ibnu Hisyam dan as Suhaili dalam ar Raudhulf dan al Amiri di dalam Bahjah al Mahafil.

Dan dail kedua, adalah Rasulullah sendiri mengagungkan dan mensyukuri hari kelahirannya. Dimana baginda berpuasa di setiap hari Isnin sebagai tanda syukur dan memperingati hari kelahiran baginda. Sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Qhatadah; Rasullullah SAW ditanya tentang puasa baginda setiap isnin, lalu baginda menjawab “padanya (hari isnin) aku dilahirkan dan padanya aku diwahyukan”.

Dan inilah makna sambutan atau perayaan kelahiran baginda, Cuma bentuk atau cara perayaan sahaja yang berbeza tetapi asasnya ada.
Perayaan hari kelahiran baginda SAW boleh jadi dengan berpuasa atau memberi makan, atau dengan berhimpun dalam majlis zikir ataupun bersalawat ke atas baginda SAW atau mendengar sirah atau hal-hal yang berkenaan tentang baginda SAW.

Adapun bergembira dengan Rasulullah SAW adalah suatu perkara yang dituntut dengan perintah di dalam al-Quran, firman Allah yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad) dengan kelebihan Allah dan rahmatnya maka dengannyalah hendaklah mereka bergembira”. – Yunus:58

Maka disini Allah SWT memerintahkan kita supaya bergembira dengan rahmatnya, dan Nabi Muhammad SAW seagung-agung rahmat. Allah SWT berfirman yang bermaksud “dan tidaklah kami (Allah SWT) mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam”.

Malah yang menguatkan dalil ini adalah tafsir sahabat dan juga sepupu baginda SAW, Ibnu Abbas RA yang diriwayatkan oleh Abu Asy-Syeikh berkenaan dengan ayat al-Quran ini kata-kata beliau; kelebihan beliau adalah ilmu dan rahmatnya adalah Nabi Muhammad SAW, dan Allah berfirman yang bermaksud “tidaklah kami mengutuskan engkau melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam”.

Bergembira dengan baginda SAW adalah sesuatu yang dituntut pada setiap waktu dan pada setiap nikmat dan setiap kelebihan dari Allah SWT. Tetapi ianya lebih dituntut pada hari Isnin dan pada setiap bulan Rabiul Awal bersempena dengan waktu dan muhasabahnya.

Dan adalah Rasulullah SAW memperhatikan ikatan sesuatu waktu atau zaman dengan peristiwa-peristiwa agama yang agung yang telah berlalu. Sekiranya datand waktu atau hari berlakunya peristiwa-peristiwa agama ini, adalah satu peluang untuk membesarkan harinya dan memperingatinya. Ini kerana ianya adalah sebahagian waktu bagi peristiwa-peristiwa tersebut.

Dan Rasulullah SAW sendiri telah meletakkan asas bagi kaedah ini, seperti mana telah jelas di dalam satu hadith yang shahih; baginda SAW mendapati orang-orang yahudi madinah berpuasa di hari Asyura dan apabila ditanya akan sebab perbuatan mereka yakni puasa orang-orang yahudi pada hari tersebut, mereka menjawab mereka berpuasa disebabkan pada hari ini (hari Asyura) adalah hari dimana Allah selamatkan Nabi Musa dan menenggelamkan firaun, dan mereka berpuasa sebagai tanda syukur pada Allah atas nikmat ini. Maka bersabda Rasulullah SAW; “kami lebih patut (berpuasa kerana syukur ini) kerana Nabi Musa lebih dari kamu semua”. Maka baginda SAW berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabat baginda berpuasa pada hari tersebut.

Di dalam majlis Maulid juga, dihidupkan padanya bersalawat serta salam ke atas junjungan Nabi SAW dan ini adalah tuntutan yang jelas di dalam al-Quran dar firman Allah SWT yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya bersalawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu dan salam ke atasnya” – al-Ahzab:56.

Dan di dalam majlis Maulid juga, dibacakan padanya kisah kelahiran, mukjizat, sirah dan mengenai baginda SAW. Bukankah kita diperintahkan untuk mengikut sunnah Rasulullah SAW dan beriman dengan mukjizat baginda SAW.
Malah dengan amalan memperingati dan mengikuti kisah Nabi SAW menambahkan keimanan dan cinta kepada baginda SAW. Sepatutnya kita takut dengan hadith baginda yang berbunyi; “tidak sempurna iman seorang dari kamu hinggalah Aku menjadi orang yang paling dicintai lebih dari ibunya, ayahnya, anaknya, hartanya dan manusia seluruhnya”. Kitab-kitab Maulid penuh dengan kisah-kisah kelahiran, mukjizat dan sejarah baginda SAW.

Kata-kata para ulama Muktabar tentang sambutan Maulidirrasul:

1. Imam Jalaluddin as Sayuti. Imam yang agung ini telah meletakkan satu bab yang diberi nama (kebaikan dan tujuan dalam amalan Maulid) di dalam kitab beliau, al Hawi lil Fatawi (himpunan fatwa-fatwa). Beliau telah berkata pada awal bab ini ; telah datang pertanyaan padaku tentang amalan Maulid Nabi pada bulan Rabiul Awwal, apakah hukumnya di dalam syariat? Adakah ia amalan yang dipuji atau dicela? Adakah diberi pahala ataupun tidak?
Maka jawapanku: sesungguhnya asal usul Maulid – yang mana difahami sebagai satu himpunan sambutan dengan bacaan alQuran, bacaan kisah kelahiran Nabi dan peristiwa-peristiwa ajaib yang berlaku ketika itu, kenduri dengan hidangan makanan – ianya adalah salah satu dari perkara Bid’ah Hasanah yang diberi pahala bagi yang melaksanakannya. Kerana pada sambutan ini ia membesarkan dan mengagungkan Nabi SAW serta menunjukkan kegembiraan dengan kelahiran baginda SAW.

2. Syeikhul Islam Ibnu Taimiah. Beliau telah menyatakan di dalam kitabnya “Iqtidho as siratil mustaqim” … dan begitulah apa yang diadakan (amalan Maulid) oleh beberapa kalangan orang, samada meniru orang-orang nasrani pada sambutan kelahiran Nabi Isa AS ataupun samada kecintaan mereka kepada Nabi Muhammad SAW dan mengagungkan baginda, dan Allah memberi pahala atas sebab kecintaan dan ijtihad ini..” Dan beliau menambah ‘maka sesungguhnya perkara ini tidak dilaksanakan oleh para salaf soleh, walaubagaimanapun tiada halangan melaksanakannya..’

3. Amirul mukminin fil Hadith Imam al Hafiz Ibnu Hajar al Asqolani. Telah berkata Imam as Sayuti di dalam rujukan yang telah disebutkan lepas, di manakah nasnya..? telah ditanya Syeikhul Islam zamannya, Ibnu Hajar Asqalani tentang amalan sambutan Maulid, maka beliau menjawab “asal maulid adalah bid’ah, tidak pernah dinaqalkan amalan tersebut pernah diamalkan oleh salaf soleh daripada kurun ketika dari zaman wafatnya Rasulullah SAW. Tetapi walaupun begitu ianya meliputi kebaikan dan sebaliknya. Maka barangsiapa yang mengamalnya kerana mencari kebaikan dan menghindari sebaliknya maka ia Bid’ah Hasanah, dan sekiranya tidak, maka ia Bid’ah Sayyi’ah.

Telah zahir padaku akan takhrij hadith pada asal (amalan maulid) yang thabit, ianya apa yang terdapat di dalam dua kitab shahih (shahih Bukhari dan Muslim) bahawa Rasulullah SAW datang ke Madinah dan mendapati orang-orang yahudi berpuasa pada hari Asyura, maka Rasulullah SAW bertanyakan sebab puasa pada hari tersebut, lalu mereka menjawab, “ianya hari di mana Allah menenggelamkan firaun dan menyelamatkan Nabi Isa As, maka kami berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran pada Allah”

Maka faedah dari Hadith ini bahawa, perbuatan amalan bersyukur pada Allah di atas sesuatu nikmat yang dikurniakan pada hari-hari tertentu, samada mendapat nikmat (pada hari tersebut) atau terselamat dari bala bencana. Maka apakah nikmat yang lebih besar daripada nikmat wujudnya (lahirnya) Nabi ini SAW, Nabi rahmat pada hari tersebut. Dan ini apa yang bersangkut paut dengan asal amalan Maulid ini. Adapun apa yang diamalkan padanya, maka hendaklah ianya terbatas pada apa yang difahami dengan bersyukur pada Allah SWT, seperti tilawah alQuran, memberi makan pada orang-orang bernasyid dengan puji-pujian terhadap baginda SAW yang menggerakkan hati-hati kepada amalan-amalan kebaikan dan amalan-amalan akhirat.

Beberapa kitab Maulid yang Masyhur.

Kitab-kitab yang ditulis di dalam bab ini terlalu banyak. Ada yang disusun dalam bentuk syair, ada yang panjang dan ada yang ringkas. Di sini akan disebutkan beberapa kitab-kitab maulid dari kalangan ulama-ulama besar, imam-imam agama yang telah menulis mengenai bab ini, antaranya ialah;

1. Imam al Muhaddith al Hafiz Abdul Rahman bin Ali, yang masyhur dengan gelaran Abu Farj ibnu al Jauzi (wafat 598 hijrah), kitab Maulid beliau yang dinamakan “al-Arus”.

2. Imam al Muhaddith al Musnid al Hafiz Abu al Khattab Umar bin Ali yang dikenali sebagai Ibnu Duhyah al Kalbi (wafat 633 hijrah), kitab maulid beliau “al Tanwir fi Maulid Basyir Nazir”.

3. Imam Syeikhul Quraa’ Imam al Qiraat al Muhaddith al Musnid Abu Khair Syamsuddin Muhammad bin Abdullah al Jazri as Syafie (wafat 660 hijrah), “Urfi at Ta’rif bil Maulid as Syarif”.

4. Imam Mufti dan pakar sejarah al Muhaddith Imaduddin Ismail bin Umar bi Kathir (wafat 774 hijrah), yang masyhur dengan Ibnu Kathir, pebgarang kitab tarikh masyhur ‘al Bidayah wan Nihayah’.

5. Imam al Muhaddith al Hafiz Abdul Rahman bin Hussain al Misri yang terkenal dengan al Hafiz al Iraqi (wafat 808 hijrah), kitab maulidnya yang berjudul “al Maurid al Hanni fil Maulid as Sunni”.

6. Imam Muhammad bi Abdul Rahman al Qahiri yang terkenal dengan al Hafiz as Sakhawi (wafat 902 hijrah), telah mengarang kitab maulid yang diberi nama “ al Fakhrul Alawi fil Maulid an Nabawi”.

7. Al Alamah al Faqih Imam Syihabuddin Ahmad bin Hajar al Hatami (wafat 974 hijrah), kitab maulid beliau “Itmam an Nikmah alal Aalam bi Maulid Sayyidi Waladi Adam”.

8. Al Alamah al Muhaddith al Musnid Jaafar bin Hasan bin Abdul Karim al Barzanji (wafat 1177 hijrah), dan bagi beliaulah kitab maulid yang amat masyhur dengan nama Maulid Barzanji yang nama asalnya “Aqdul Jauhar fi Maulid an Nabi al Azhar”.

Dan di sana terdapat banyak lagi kitab-kitab maulid yang dikarang oleh ulama-ulama Islam yang terkemuka seperti al Hafiz Abdul Rahman bi Ali Ibnu Daiba’ as Syaibani, al Faqih as Sayyid Ali bin Zainal Abidin as Samhudi, al Alamah Abu Barakat Ahmad bin Muhammad al Adwani, al Allamah Syeikh Abdul Hadi al Abya rialMisri, Imam al Muhaddith as Sayyid Muhammad bin Jaafar al Kattani, al Allamah Syeikh Yusuf an Nabhani dan banyak lagi.

No comments:

Post a Comment