Thursday, January 29, 2009
DALAM KENANGAN
Photo kenangan pelajar Idrisiah 1950
Dalam bulan April 1922 bersamaan dengan tahun Hijrah 1342, di zaman pemerintahan almarhum Sultan Iskandar Qaddasalah anakanda almarhum Sultan Idris Mursyidil ‘Azam Shah, Bukit Chandan Kuala Kangsar khasnya dan Negeri Perak amnya membuka suatu lembaran baru sejarahnya dalam perkembangan Pengajian Islam, apabila sebuah Institusi Pengajian Islam sistem sekolah yang diberi nama Madrasah Idrisiah mernulakan pengajiannya. Inilah Sekolah Agama yang pertama di Negeri Perak yang memulakan pengajiannya dengan mengambil seramai 23 orang anak yatim sebagai penuntut sulungnya.
Sekarang Madrasah ini telah berusia lebih kurang 87 tahun. Banyak perkara yang berhubung dengan Madrasah ini masih kekal seperti dahulu termasuk bangunannya kecuali yang berubah ialah sambutan masyarakat terhadap potensi dan pembangunannya yang pesat. Barangkali agaknya memang begitu sunnah Allah kepada alam tidak pernah ada sesuatu yang kekal selama ia bernama makhluk ia pasti akan berubah, ia pasti menempuh zaman turun naiknya. Hatta hidup ini sendiri pun adalah bagai gelombang yang pasti bertemu dangan tinggi rendah yang menjadi sifatnya.
Cuma yang kita harap Madrasah Idrisiah yang pemah menempuh zaman kejatuhannya dan kita merasakan zaman kejatuhannya itu telah mengambil masa yang panjang, biarlah sambutan Ihtifal kali ini merupakan titik tolak untuk ia bangun semula. Jika abad ke-15 dianggap oleh ahli-ahli fikir Islam sebagai zaman kebangkitan semula Islam dan madrasah ini ialah salah sebuah Institusi Pengajian Islam, biarlah ia bangun dalam zaman ini kerana tentunya masyarakat akan mendapat faedah jika ia bangun semula disaat masyarakat memerlukan ilmu para ulama dalam
serba bidang kehidupan.
Sebenarnya nama Idrisiah yang diberikan kepada Madrasah ini. mempunyai hubungan kait yang sangat erat dengan nama Almarhum Sultan Idris Mursyidil ‘Azam Shah. Baginda yang hidup sezaman dengan beberapa ulama besar Perak seperti Tuan Haji Nawawi yang dikenali dengan panggilan Pak Wi, Tuan Yunus Malim Nawar, Tuan Haji Wan Muhammad dengan penuh rasa tanggungjawab telah mewakafkan sebahagian daripada harta baginda termasuklah 23 pintu kedai di pekan Kuala Kangsar yang bertujuan untuk tidak lain dan tidak bukan ialah menjaga, memelihara dan mempertingkatkan syiar Islam dan
pengajarannya di Negeri Perak ini khasnya. Kesemua harta baginda digunakan untuk mentadbir tiga buah institusi penting dengan segala kemudahan asas yang lengkap, seperti rasanya seluruh pecinta Islam memanjatkan kehadrat Allah S.W.T semoga Allah memberikan rahmat dan kasihnya kepada roh Almarhum serta menambahkan hidayah dan petunjuk kepada zuriatnya. Sesungguhnya Almarhum boleh dijadikan
satu diantara beberapa model ‘Kepimpinan Melalui Tauladan’.
Menurut sumber-sumber yang sah menyatakan bahawa tanah tapak Madrasah Idrisiah ini yang mengandungi kira-kira 3 ekar adalah wakaf Almarhum sendiri yakni bukan tanah kerajaan yang diambil, tetapi tanah milik baginda sendiri. Diatas tapak seluas inilah baginda memerintahkan orang penting dalam pembinaan Madrasah ini menguruskan segala-gala yang diperlukan sehingga berjalannya pengajian di Madrasah ini dalam tahun 1922. Di atas tapak inilah didirikan lima buah bangunan yang mengandungi tiga buah rumah guru, sebuah pejabat yang dikenali dengan nama Idarah (Rumah Bulat) dan di Kuala Kangsar ini iaitu Makam Al-Ghufran, Bukit Chandan, Masjid Ridzwaniah di pekan Kuala Kangsar dan Madrasah Idrisiah.
Dengan keteguhan harta wakaf baginda inilah. Madrasah Idrisiah mampu mengekalkan tradisinya yang tersendiri termasuklah ia mampu mengekalkan satu-satunya sekolah agama yang bertaraf swasta yang tidak mengenakan sebarang yuran pelajaran kepada murid-murid. Dengan harta wakaf tersebut juga Madrasah mampu memberikan penempatan secara percuma kepada pelajarnya tinggal dalam segala kemudahan air, elektrik, dan sebagainya.
Bangunan panjang ini di bahagian atasnya dijadikan asrama dan dibahagian bawahnya dijadikan kelas-kelas. Asrama Madrasah ini boleh menampung lebih kurang 150 orang murid. Pada mulanya terdapat tiga tangga dibangunan ini iaitu dua dibahagian tepi dan satu di tengah. Memandangkan sambutan kepada Madrasah ini bertambah baik, kira-kira dalam tahun 1963 tangga besar di bahagian tengah dibuang dan dibahagian bawahnya dijadikan sebuah kelas lagi, sementara dibahagian atasnya dibiarkan lapang menjadi Ma’abad, untuk latihan solat malam, membaca al-Quran, kelas-kelas umumi dan sebagainya.
Berhampiran dengan Madrasah Idrisiah ini terdapat sebuah sekolah lagi yang diberi nama Madrasah Mariah. Madrasah ini juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri kerana ianya merupakan wakaf Almarhumah Raja Perempuan Mariah isteri kepada Almarhum Sultan Idris. Di Madrasah Mariah inilah tinggalnya Allahyarhamhu Tuan Haji Nawawi yang kita sebut sebagai Pak Wi. Beliau menjadi Mudir di Madrasah Mariah ini. Pak Wi adalah orang yang diamanahkan oleh Almarhum Sultan Idris untuk menyusun perancangan sehingga Idrisiah ini siap dibina. Madrasah Mariah yang disebut tadi, bangunan masih dikekalkan sehingga sekarang dan kini dijadikan asrama puteri Madrasah Idrisiah mulai 13 Ogos 1985 wakaf Mariah ini pula telah diserahkan kepada Majlis Agama Islam Perak. Sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk mengendalikan wakaf Almarhum Sultan Idris. Jawatankuasa itu dinamakan Jawatankuasa Amanah Agama dan Khairat Almarhum Sultan Idris. Jawatankuasa ini mengandungi tiga orang ahli disertai dengan dua orang pembantu. Pengerusi jawatankuasa ini ialah sesiapa sahaja yang memegang jawatan sebagai pegawai daerah Kuala Kangsar. Sementara dua orang ahli yang lain ialah seorang Orang Besar Negeri yang dilantik oleh baginda sultan sebagai Orang Kaya-kaya Setia Bijaya DiRaja Perak dan seorang lagi waris Almarhum Sultan Idris yang dilantik oleh ke bawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang memerintah.
Disamping itu pihak pegawai daerah telah melantik dua orang lagi pegawai yang berkhidmat di Pejabat Daerah Kuala Kangsar untuk menjadi setiausaha jawatankuasa ini dan seorang lagi sebagai bendahari dan pemungut wang termasuklah mengutip sewa kedai. Semua keperluan di ketiga-tiga institusi ini iaitu Madrasah Idrisiah, Masjid Ridzwaniah, Makam Al-Ghufran dari semua kewanganya dikendalikan oleh jawatankuasa tersebut.
Orang Besar Negeri yang menjadi salah seorang ahli dalam Jawatankuasa Amanah Agama Dan Khairat Almarhum Sultan Idris itu dengan sendirinya menjadi Pengerusi kepada sebuah jawatankuasa yang mentadbir segala perjalanan Madrasah Idrisiah. Jawatan ini dikenali dan dinamakan Pengerusi jawatankuasa Tadbir Madrasah Idrisiah. Selain itu Pengerusi jawatankuasa Tadbir Madrasah Idrisiah yang pertama ialah Yang Berbahagia Orang Kaya-Kaya Shahbandar Tuan Ahmad Bin Haji Tahir. Setelah beliau meninggal dunia, Jawatan tersebut telah diamanahkan oleh ke bawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Sultan kepada Orang Kaya-Kaya Seri Bijaya Diraja Perak Tuan Jeragan Abdul Shukor. Apabila Beliau kembali ke Rahmatullah beliau telah digantikan oleh anaknya Orang Kaya-Kaya Setia Tuan Mohd Noordin diikuti Orang Kaya-Kaya Setia Dato’ Mohd Hashim dan anakanda kepada Tuan Jeragan Abdul Shukor. Apabila Dato Mohd Hashim Kembali ke Rahmatullah selepas sahaja Madrasah Idrisiah meraikan Jubli Emasnya. Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Madrasah ini kini ditadbir kepada Orang Kaya-Kaya Setia Bijaya DiRaja Perak Dato’ Abdul Wahab Bin Mohd Noordin iaitu cucu kepada Tuan Jeragan Abdul Shukor.
Pada mula Jawatankuasa Tadbir Madrasah hanya dianggotai seramai lima sahaja yang terdiri daripada dua Orang Besar Negeri, Mudir Madrasah, seorang setiausaha dan seorang kerani. Kemudiannya berbagai-bagai perubahan dan perlaksanaan dijalankan sehingga ke tahun 1984. Ini adalah suatu tindakan yang istimewa yang telah dilakukan bagi mengatasi kejatuhan Madrasah ini dengan melantik seorang setiausaha kehormat, seorang pegawai dari Pejabat Sultan yang terdiri daripada Encik Abu Bakar bin Mohd dan beliau masih kekal dengan jawatan tersebut sehingga sekarang. Kini Jawatankuasa Tadbir Madrasah berjumlah seramai 14 orang, 10 daripada mereka adalah bekas murid tua Madrasah ini dan 2 orang daripadanya adalah mewakili Persatuan Bekas Pelajar Madrasah Idrisiah.
Selain daripada Pengerusi dan Setiauasaha Yang Berhormat Tuan Haji Mior Harris Bin Mior Abu Bakar selaku Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perak dan Encik Zulkifli Bin Zakaria dan Encik Mahmedin Bin Taib, Penolong Pegawai Daerah Kuala Kangsar adalah jawatankuasa yang telah banyak memberi khidmat kepada pemulihan semula Madrasah ini. Lain-lain jawatan adalah terdiri daripada bekas-bekas pelajar Madrasah Idrisiah iaitu: Tuan Haji Bukhari Bin Harun, Kadi Daerah Kuala Kangsar Tuan Haji Muhammad Nizar Bin Haji Abdul Hamid, Tuan Haji Wan Ahmad Bin Wan Yusuf, Y.B Tuan Haji Abdul Aziz Bin Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Selama Tuan Syeikh Haji Muhammad Ghazali Bin Haji Abdul Wahid Yang diPertua Persatuan Bekas Pelajar Madrasah Idrisiah, Tuan Haji Aznam Bin Haji Mat Rashid, Tuan Haji Osman Bin Haji Arshad yang mewakili Persatuan Bekas Pelajar Madrasah Idrisiah dan bekas Mufti Perak Orang Kaya-kaya Imam Paduka Tuan Dato Haji Abdul Malik Bin Noordin.
Akhir tahun 1930 masihi, Idrisiah mengeluarkan putera-putera sulungnya seramai 23 orang. Di antara mereka Tuan Haji Nawawi Hassan yang kemudiannya terus menjadi guru di Madrasah Idrisiah. Tuan Haji Nawawi tidak pernah meninggalkan Madrasah Idrisiah melainkan hanya sekitar 1970 an, Tuan Haji Nawawi kemudian dilantik sebagai mudir Madrasah Idrisiah yang keenam apabila Dato’ Haji Abu Hassan mudir kelima meletakkan jawatan kerana kesihatan dalam tahun 1982. Tuan Haji Nawawi kembali ke Rahmatullah pada 18 Februari 1985, dikebumi di pinggir Makam Al-Ghufran Bukit Chandan. Sukar rasanya mencari seorang yang hilang yang paling istiqamah dengan pendirian dan sikapnya. Semoga Allah cucuri rahmat kepada rohnya.
Sebenamya angkatan sulung Madrasah Idrisiah yang mula belajar dalam tahun 1922 itu terpaksa mengambil masa untuk belajar selama sembilan tahun, di mana sewaktu di tahun ketujuh, mereka terpaksa berada selama tiga tahun, iaitu kelas tujuh alif, kelas tujuh ba, kelas tujuh tha. Kesemua ini berjalan sehinggalah pada tahun 1948, yakni hingga ke akhir zaman Allaharhu Al’lamah Syeikh Abdullah Fa’him, di zaman Syeikh Haji Zubir Bin Haji Ahmad pula kelas ketujuh itu dijadikan dua tahun sahaja dan berjalan sehingga ke tahun 1956. Kemudian Kelas tujuh hanya tinggal setahun sehingga ke tahun 1964, dimana mulai tahun tersebut Kelas lapan diwujudkan. Jika sebelum ini pembinaan asas Madrasah Idrisiah diletakkan oleh Tuan Haji Nawawi (Pak Wi) maka bolehlah dianggap pelajaran yang asas sekali di bina oleh mudir pertama Madrasah Idrisiah ini iaitu Tuan Haji Muhammad bin Salleh.
Perlu di ingat di zaman ini terdapat dua orang yang bemama Tuan Haji Mohd Salleh. Seorang daripadanya telah di lantik oleh Sultan Iskandar sebagai Syeikhul Islam Perak dan Yang Kedua ialah Mudir Pertama Madrasah ini. Oleh kerana keuzurannya dalam tahun 1928 beliau melepaskan jawatan Mudir dan kembali beristirehat bersama keluarganya di Kepala Batas. Sekalipun nama beliau kurang di kenali tetapi Allahyarhamhu merupakan seorang ulama yang sangat ikhlas, dimana kerana terlalu ikhlasnya serta ditambahi pula masa beliau berada di negeri Perak dalam jangka masa yang singkat dan kerana tumpuan beliau kepada madrasah ini sehingga menghadkan beliau berkecimpung dalam masyarakat menyebabkan namanya kurang dikenali. Hanya ‘Jauhari yang kenal Ma’nikam’.
Madrasah Idrisiah yang baru berusia lebih kurang enam tahun ini menghadapi masalah mudir. Mudir adalah pusat bagi sesebuah sekolah agama. Kecekapan pentadbiran, darjah kealiman, wara’ dan jika disebut sebagai baik itu harus ada pada seorang mudir untuk membolehkan madrasah yang dipimpin berjaya. Oleh kerana itulah jawatakuasa tadbir madrasah ini berusaha untuk mencari seorang ulama yang berkaliber, dan akhirnya bak kata pepatah, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih, kali ini Idrisiah memperolehi seorang yang bukan kecil. Beliau adalah Syeikh Abdullah Maghribi yang memang seorang warga negara timur tengah dan beliau kembali ke rahmatullah di Mekah Al-Mukarromah dalam tahun 70 an. Sejarah telah mencatatkan bahawa beliau adalah seorang ulama yang sangat tegas dan berani dalam menghadapi masalah khurafat dan bida’ah didalam masyarakat kita. Barang kali juru dakwah yang ada sekarang akan merasa lebih sukar bagi melaksanakan kerja-kerja dakwah mereka. Membanteras khurafat lebih sukar daripada mengajak seorang kafir memeluk Islam.
Di zaman Syeikh Abdullah Maghribi masyarakat Islam mula dapat melihat hasil Madrasah Idrisiah. Apabila anak sulungnya yang keluar dalam tahun 1930an, sistem sekolah yang ketika itu diragui oleh sesetengah pihak telah membuka lembaran baru yang meyakinkan untuk menggantikan pondok-pondok yang berselerak di negeri Perak ini. Anak-anak yang keluar daripada sebuah institusi yang bernama sekolah atau madrasah dengan beberapa teknikal baru ini menghasilkan ketokohan mereka menyebabkan Idrisiah mula mendapat perhatian masyarakat Islam. la mula bertukar daripada fungsi asalnya sekadar menempatkan anak-anak yatim, membuka pintunya kepada seluruh masyarakat Islam. Setelah asas yang baik dibina oleh Tuan Haji Muhammad Salleh, maka Syeikh Abdullah Maghribi menampakkan hasil daripada asas tersebut.
Sekali lagi kehendak Allah berlaku. Hilang dan datang bertemu dan berpisah dikalangan makhluk Allah juga adalah suatu lagi sunnah Allah kepada alam dan makhluknya. Dalam tahun 1932, Tuan Syeikh Abdullah Maghribi terpaksa berangkat pulang ke Mekah Al Mukarromah. Idrisiah yang baru bangun telah kehilangan bapa, berusaha mencari tempat berlindung yang baru. Waktu itu ulama’ masih ramai, bukanlah suatu hal yang sangat sukar untuk mencari seorang ulama’.
Tetapi yang pasti ulama’ yang datang ini harus punya beberapa keistimewaan daripada yang telah pergi. Yang tumbuh pasti lebih daripada yang pergi atau sekurang-kurangnya sama dengan yang pergi. Jawatankuasa Tadbir Madrasah dengan perkenan kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Sultan Perak waktu itu, telah berkunjung ke Kepala Batas. Disana tinggalnya seorang ulama besar yang disegani oleh masyarakat Islam beliau adalah Allahyarhamhu Al’ Allamah Tuan guru Syeikh Abdullah Fa’him. Almarhum ini adalah datuk kepada Perdana Menteri Malaysia sekarang.
Idrisiah terus bergemerlapan. Kehadiran seorang ulama’ seperti kehadiran seorang pembawa obor kesuatu tempat yang memerlukan cahaya. Ulama besar ini dengan segala kegigihannya, dengan ikhlas dan dengan pergantungannya yang bulat kepada Allah membawa Madrasah Idrisiah kesuatu tahap yang amat mengkagumkan. Syeikh Abdullah Fahim seangkatan dengan Tok Kenali di Kelantan dan Tuan Hussain di Kedah. Dalan masa 16 tahun beliau memimpin Madrasah idrisiah telah banyak cendiakawan Islam yang lahir daripadanya. Negeri Selangor dan Pahang merupakan di antara Negeri yang pernah menerima khidmat anak murid Allah Yarhamhu yang dididik di Madrasah ini sebagai Mufti di negeri-negeri berkenaan, selain daripada Negeri Perak. Negeri Perak sendiri menerima khidmat bekas Madrasah Idrisiah ini sebagai Muftinya, mulai daripada Mufti yang kedua hinggalah kepada Mufti yang ada sekarang ini Dato Seri Haji Harussani bin Zakaria.
Hidup ini penuh dengan ujian Allah. Kadang-kala Allah memberikan manusia sakit dengan hikmatnya atau senang dengan hikmatnya. Tentunya itulah adalah hak Allah dan Allah sahaja yang mengetahui sebenar-benar hikmatnya daripada setiap kejadian yang berlaku kepada setiap makhluknya di alam ini. Setelah 16 tahun Tuan Haji Guru Syeikh Abdullah Fahim berada dan memimpin Madrasah Idrisiah dengan berbagai jasa, beliau sering uzur. Barangkali kerana takut tidak tersempurnanya amanah yang dipikul, Allahyarhamhu memohan untuk bersara dan untuk kembali ke tempat asalnya di Kawasan Daeratul Ma’arif Kepala Batas. Emas yang bercahaya dibawa ke manapun tetap emas yang terus bercahaya. Ulama’ adalah tetap ulama walau di manapun ia berada, ia tetap mengajar dan tetap berperanan.
Cuma Madrasah Idrisiah harus mencari pengganti seperti ketika ketiadaan Syeikh Abdullah Maghribi dahulu. Akhirnya yang dicari ditemui di Madrasah Al Ikhlas Masjid Tinggi Bagan Serai. Seorang ulama yang masih muda yang baru sahaja pulang dari tanah suci Mekah Al-Mukarromah. Seorang tokoh Melayu yang pernah berjasa di Mekah ketika beliau dengan beberapa orang kawannya dari Indonesia membuka sebuah institusi pengajian Islam yang diheri nama Darul Nur Diniyyah Mekah. Beliau ialah Syeikh Haji Zubir Bin Haji Daud yang kembali ke rahmatullah dalam tahun 1984 yang lalu.
Syeikh Haji Zubir adalah penyambung zaman gemilang Madrasah Idrisiah di zaman Syeikh Abdullah Fahim. Beliau memulakan tugasnya sebagai mudir keempat Madrasah Idrisiah pada tahun 1948. Beliau meninggalkan madrasah ini dalam tahun 1976 ketika beliau merasakan dirinya agak uzur dan perlu beristirehat. Beliaulah Mudir Madrasah Idrisiah yang paling lama diberi amanah sebagai mudir, dalam sekitar 28 tahun. Cintanya kepada Madrasah ini amat besar dan ketara. Ini ternyata sehingga ke akhir hayat beliau. Ini dapat dibuktikan apabila beliau telah mewasiatkan kepada keluarganya supaya sebahagian daripada hasil rumah sewanya yang terdapat di Teluk Intan terus di sumbangkan untuk membantu beberapa orang anak yatim yang belajar di Madrasah ini. Wang tersebut diberikan oleh keluarganya kepada pihak sekolah setiap bulan sehingga sekarang.
Syeikh Zubir seorang ulama’ yang mempunyai perwatakan lembut pada waktu normal dan menjadi tegas dan berani dalam ketika lain. Murid-muridnya hampir kesemua faham jika mahukan Tuan Syeikh sentiasa senyum, jangan ada sesiapa di antara murid-muridnya yang meninggalkan sembahyang berjemaah di Masjid Ubudiah. la sama sekali tidak memberi maaf kepada murid-muridnya yang meninggalkan sembahyang jemaah di masjid dan beliau sendiri sentiasa berjemaah di masjid. Pada beliau sekadar hujan bukan menjadi alasan untuk tidak berjemaah ke masjid. Di zaman murid-muridnya sangat terkenal dengan Dharbatain yang merupakan hukuman wajib kepada murid-murid yang meninggalkan sembahyang berjemaah disamping lain-lain hukuman.
Menurut ceritanya di sebabkan Allahyarhamhu pernah memukul seorang murid agak berat kerana meninggalkan sembahyang, hal itu di persembahkan orang kepada Al Marhum Sultan Yusof waktu itu. Almarhum menitahkan beliau mengadap ke istana tetapi setelah beliau memberi penjelasan Almarhum Sultan Yusof telah menitahkan Jawatankuasa Amanah menambah gaji bulanan beliau sebanyak RM 50 sebulan. Rupanya Almarhum menyedari bahawa hukuman yang dikenakan kerana meninggalkan sembahyang dengan sengaja itu sekalipun agak berat tetapi atas dasar dan prinsip yang agak kukuh. Kerana sikap tegasnya dengan masalah sembahyang itulah menyebabkan nama Idrisiah semakin bertambah harum.
Cuma diakhir tempoh beliau sebagai Mudir, Madrasah Idrisiah mula mengalami kemerosotan. Bukanlah kerana sikap dan kemampuan beliau menurun tetapi kerana mungkin beberapa faktor luaran, termasuklah tentang nilai ekonomi yang kurang terjamin bagi keluaran madrasah ini.
Setelah melihat keadaan tersebut beliau mengundur diri dalam tahun 1976 dan tempatnya digantikan bekas mufti kerajaan Perak, Dato’ Haji Abu Al-Hassan Abdul Majid, D.P.M.P.
Seterusnya Tuan Haji Nawawi merupakan Mudir yang berusaha membawa Idrsiah bertatih untuk bangun setelah jatuh dalam masa lima belas tahun. InsyaAllah, Idrisiah akan bangun semula kerana wakaf ikhlas Almarhum Sultan Idris itu telah pernah memberi erti kepada perkembangan Islam khasnya di dalam negeri ini dan amnya di seluruh negara.
Kepada roh semua guru-guru, termasuk murid-muridnya yang telah terlebih dahulu mengadap Allah, marilah kita hadiahkan untuk mereka Al-Fatihah semoga Allah memberikan rahmat dengan memasukkan roh mereka ke golongan hamba-hamba yang diredainya. Al-Fatihah.
Demikian pula untuk semua yang terlibat baik di zaman awalnya atau di zaman harumnya pun demikianlah pula di zaman kejatuhannya, seterusnya zaman kemodenannya (sekarang). Kepada mereka yang masih hidup wajarlah jua kita berdoa semoga disihatkan Allah dan diberi Allah rahmat dan pertunjuknya.
Kira-kira dalam bulan Jun 1984, seorang Setiusaha Kehormat dilantik. Diikuti pada 5 Oktober 1985, Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibuddin Shah berkenan berangkat mencemar duli ke Madrasah Idrisiah untuk melihat dan mendengar sendiri masalah yang dihadapi oleh madrasah ini. Hasil daripada keberangkatan baginda itu, baginda telah menitahkan penyusunan semula Madrasah Idrisiah dan beberapa langkah kemudiannnya diambil, di antaranya ialah Mudir Madrasah Idrisiah yang akan dilantik mestilah dari kalangan bekas penuntut Idrisiah sendiri dan terlantiknya Ustaz Musa bin Zainuddin sebagai Mudir yang ke-6. Atas titah baginda sultan, pihak Chandan Development telah mengecat semula dan memperbaiki Madrasah Idrisiah dengan menelan belanja hampir RM 100,000,00 pada tahun tersebut.
Kerajaan Negeri Perak dengan titah Duli Yang Mulia Sultan Azlan Shah telah mewakafkan sebidang tanah seluas 20 ekar kepada Jawatankuasa Tadbir Madrasah Idrisiah untuk tujuan pembinaan Institut Pengajian Tinggi Takhasus al-Idrisiah.
Kini dibawah pentadbiran Mudirnya yang ke-7 Tuan Haji Kamaruddin, usaha-usaha bagi meneruskan kecemerlangan Madrasah Idrisiah masih diteruskan, kini Madrasah Idrisiah terus melahirkan tokoh-tokoh hebat bukan sahaja dalam penguasaan ilmu agama bahkan tokoh-tokoh akademik yang berjaya di seluruh Negara.
Semoga kami semua bekas-bekas kelahiran Idrisiah dapat memberikan khidmat sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada kemajuan dan pembangunan Madrasah Idrisiah di masa kini hinggalah ke zaman-zaman mendatang. InsyaAllah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment