Thursday, January 22, 2009

SIRI TERJEMAHAN RASAIL NUR 1

KALIMAT PERTAMA

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Maha Penyayang

(بسم الله) Merupakan penghulu kepada segala kebaikan, permulaan kepada segala perbuatan dan amalan, malah ia mudah untuk ditutur dan dilafazkan.

Wahai diri dan jiwaku! Ketahuilah dikau! Sesungguhnya kalimah yang baik dan berkah ini seakan-akan ianya sesuatu yang diwajibkan dalam Islam, dan ia menjadi sebutan segala sesuatu yang wujud dengan lisan halnya (bahasanya tersendiri).

Sesungguhnya dikau berhasrat untuk menyelami dengan lebih mendalam segala perkara yang tersirat di dalam kalimah ini… (بسم الله). Dengan segala kesanggupan dan kekuatan yang tinggi tanpa penghabisan, di mana pada kalimah ini terdapat padanya segala keberkatan dan keluasan tanpa tepian.

Maka dengarlah dikau hikayah yang pendek ini…

Adapun orang-orang arab badwi yang sentiasa berpindah randah di padang pasir dan menetap padanya… tak dapat tidak, mereka perlu bergantung kepada ketuanya (ketua kabilah), dan berada di dalam penjagaan dan pengawasan ketuanya, agar mereka terlepas daripada sebarang bentuk kejahatan dan kecelakaan, serta dapat melaksanakan tanggungjawab dan memenuhi segala keperluan mereka dengan tenang dan tenteram, sekiranya tidak! Maka tinggallah mereka bersendirian… tanpa bantuan dan pertolongan, resah gelisah tatkala berhadapan dengan musuh-musuh yang banyak, serta terhalang untuk memperolehi segala kehendak dan keperluan.

Demikianlah!.. Dari contoh di atas, kita dapati padanya dua orang badwi;. Adapun si badwi pertama seorang yang tawaddu’ (merendah diri), dan si badwi kedua seorang yang ego dan sombong, adapun seorang yang tawaddu’, bersandarkan segala perkara kepada ketuanya… dan seorang yang sombong tidak mahu bersandarkan kepada ketuanya…

Berjalanlah kedua-duanya di padang pasir….. maka tiadalah bagi si muntasib (seorang yang bersandar kepada ketua) berjalan menuju khemah ketuanya kecuali apabila ia menerima jemputan dan penghormatan atas nama yang mulia ini, dan sekiranya ia bertemu sekumpulan penyamun di dalam perjalanannya ia akan berkata kepada mereka: “sesungguhnya aku merantau dengan nama ketuaku ini…..” dengan itu terlepaslah ia daripada sebarang kecelakaan yang bakal menimpa.

Manakala bagi si sombong dan bongkak, ditimpa atasnya pelbagai kesusahan dan kecelakaan yang berterusan dan tidak berkesudahan. Malah disepanjang perjalanannya hanyalah diselubungi ketakutan yang berterusan, dan sering berulang-ulang…

Wahai jiwaku yang sombong dan bongkak! Ketahuilah dikau! … Sesungguhnya, dikau hanyalah seperti seorang badwi. Dan dunia yang luas ini tidak lain hanyalah seperti sebuah padang pasir. Sesungguhnya sifat-sifat kefakiran dan sifat-sifat kelemahan yang terdapat pada dirimu itu tiada akhir baginya, sebagaimana keperluan-keperluanmu dan musuh-musuhmu itu tiada pengakhiran bagi kedua-duanya.

Benar! Sesungguhnya kalimah tayyibah ini (بسم الله) merupakan harta yang amat besar dan tidak akan habis buat selama-lamanya, bahkan ia mengikat kefakiran dikau dengan rahmat yang luas lagi mutlak, lebih luas berbanding alam semesta, dan menghubungkan kelemahan dikau dengan kemampuan yang besar lagi mutlak, yang mampu dikau pegangi. Iaitu suatu hubungan yang wujud daripada sekecil-kecil zarrah hingga kepada sebesar-besar benda, lalu ia بسم الله)) menjadikan segala kelemahan dan kefakiran pada dirimu sebagai syafaat yang diterima oleh tangan yang maha berkuasa lagi pemurah Allah al-Jalalah.

Sesungguhnya barangsiapa yang bergerak, yang diam, sambil berzikir diwaktu pagi dan petang, dengan kalimah ini ((بسم الله bagaikan seorang tentera; ia melaksanakan segala tanggungjawab dan kewajipannya di atas nama Negara dan tiada sesuatupun mampu menakutkannya, menjadikan ia berbicara dengan nama undang-undang dan Negara,

Telah disebutkan dipermulaan tadi; sesungguhnya segala sesuatu yang wujud di alam ini, menyebut nama Allah dengan lisan halnya (bahasanya yang tersendiri). Iaitu sesungguhnya ia berkata: ( بسم الله ). Bukankah begitu?

Ya! Pernahkah dikau perhatikan seorang lelaki mengarahkan ramai manusia ke suatu tempat yang lapang dan memaksa mereka melakukan pekerjaan yang berbeza-beza. Maka sesungguhnya dikau dapati bahawa lelaki tersebut melakukan sedemikian bukanlah di atas kuasa dirinya sendiri dan ia tidak akan mampu untuk memerintah dan memaksa ramai manusia dengan nama dan kekuatannya sendiri.

Walaubagaimanapun ia sanggup dan mampu melaksanakannya (memerintah manusia) di atas nama ketuanya… kerana ia merupakan seorang ketua tentera yang diberi tanggungjawab atas nama Negara dan bersandar dengan kekuasaan sultannya.

Demikianlah segala benda yang wujud, melaksanakan rutinnya dengan nama Allah AWJ. Bahkan biji-biji benih itu bercambah dan menumbuhkan kepalanya lalu menjadi pohon-pohon besar, berat lagi hebat adalah dengan nama Allah AWJ. Iaitu….. ia berkata (بسم الله) maka tumbuhlah daripadanya buah-buahan daripada perbendaharaan kasih sayang tuhan yang dibentangkan kepada kita… Dan seluruh kebun itu mengucapkan (بسم الله ) maka terjadilah daripadanya sebuah dapur dengan kudrat ilahi yang terhasil daripadanya pelbagai jenis makanan yang lazat… dan semua haiwan daripada haiwan-haiwan yang berkah dan bermamfaat seperti unta, kambing dan lembu, berkata (بسم الله) maka terjadilah suatu takungan dan limpahan susu yang tidak putus-putus. Maka terbentanglah dihadapan kita dengan nama tuhan maha pemberi rezeki, maha lembut, yang memberikan makanan serta menyucikannya…

Akar-akar kayu dan rumput rumpai turut mengucapkan ( بسم الله) lalu menembusilah ia batu-batan yang keras dengan nama Allah AWJ, telah melubanginya dengan jaringan akar yang halus, seni dan bercabang-cabang

Ya, sesungguhnya dahan-dahan yang bercabang-cabang diudara itu terdapat padanya buah-buahan, akar-akar kayu di dalam tanah yang gelap, menembusi batu-batan yang keras, lalu mencari di dalamnya sumber makanan… demikian juga daun-daun hijau yang terdedah ditengah-tengah kepanasan yang tinggi, tetapi keadaannya tetap segar dan lembap…

Segala perbandingan ini… merupakan suatu tamparan hebat terhadap pendukung-pendukung fahaman kebendaan (meterialistik) yang mengabdi bahawa segala sesuatu itu terjadi dengan sendirinya… ketemplakkan fahaman tersebut telah kembali ke atas wajah-wajah mereka sendiri, katakanlah kepada mereka: “sesungguhnya tiada sebarang kesan terhadap dedaun tersebut daripada bahang dan kepanasan, bahkan kedua-duanya (dedaun dan akar kayu tersebut) tidak dapat bekerja dengan sendirinya, malah kedua-duanya itu melaksanakan pekerjaannya hanyalah dengan perintah dari pemerintah yang maha esa, sebagaimana yang terjadi pada akar yang halus lagi seni seumpama tongkat Musa yang menembusi batu.

فَقُلْنَا اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْحَجَر

al-Baqarah:60

Dan sebagaimana yang terjadi pada dedaun yang tetap lembap dan segar bagaikan tubuh Ibrahim alaihi salam. Yang ditujukan kepada kepanasan yang membakar:

يَا نَارُ كُوْنِي بَرْدًا وسَلَامًا

al-Anbiya’:69

Tiada sesuatupun yang wujud apabila ia menyebut (بسم الله) tidak mendapat nikmat kurniaan Allah AWJ… Dengan nama Allah, Ia membentangkan nikmatnya kepada kita, maka adalah suatu kewajipan ke atas kita mengucapkan ( بسم الله ), kita memberi dengan nama Allah dan menerima juga dengan nama Allah. Dan kita juga berkewajipan untuk menolak tangan-tangan yang memberi tetapi lalai daripada menyebut nama Allah.

Soalan: Sesungguhnya kita mulakan sesuatu penghormatan dan mengagungkan zat yang memberi nikmat ke atas kita, maka pada pendapat dikau, apakah yang diminta kepada kita oleh Allah tuhan empunya segala nikmat dan pemiliknya yang hakiki?

Jawapan: Sesungguhnya pemilik nikmat yang hakiki meminta kepada kita tiga perkara sebagai harga dari nikmat kurniaannya yang mahal, iaitu:

  1. az-Zikr (Zikir)
  2. asy-Syukr (Syukur)
  3. al-Fikr (Fikir)

Maka kalimah ( بسم الله ) itu permulaannya, adalah zikir,

dan (الحمد لله ) itu pengakhirnya, adalah syukur,

dan pertengahannya ialah fikir.

Iaitu memikirkan akan nikmat-nikmat yang tiada terperi luasnya, serta melihatnya sebagai suatu mukjizat kurniaan yang maha esa, tempat bergantung segala sesuatu dan suatu hadiah daripada rahmatnya yang luas… maka demikianlah suatu taammul iaitu fikir.

Bukankah seseorang yang menyembah kaki seorang utusan sultan yang membawa hadiah itu telah melakukan suatu tindakan yang bodoh dan tolol?

Jadi bagaimanakah pula dengan golongan yang menyembah kebendaan (meterialistik) tanpa menyembah pemberi nikmat yang hakiki! Bukankah ia telah melakukan kebodohan seribu kali bodah?

Maka, wahai diriku!! Jika dikau tidak mahu menjadi seperti golongan yang bodoh tadi…

Maka berilah sesuatu dengan nama Allah…

Ambillah sesuatu dengan nama Allah…

Mulailah sesuatu pekerjaan dengan nama Allah…

Dan beramallah dengan nama Allah AWJ...

Wassalam.

No comments:

Post a Comment