Friday, January 30, 2009

MUTIARA RASAIL NUR


DIKAU ADALAH KALUNG KENIKMATAN


Ketahuilah bahawasanya dikau didatangkan dari tiada kepada ada, kemudian dikau diangkat oleh Penciptamu daripada tahap terendah kepada manusia muslim yang sempurna. Setiap yang ada padamu serta gerakanmu merupakan nikmat kurnia Allah SWT kepadamu.

Terdapat dalam dirimu celupan dari setiap makhluk hidup. Oleh itu, dikau bagaikan kalung kenikmatan, atau satu tangkai yang matang padanya segala kenikmatan, atau satu untaian bermula daripada kepala hingga ke kaki.

Dikau jua bagaikan daftar isi bagi tingkatan-tingkatan kenikmatan dari Allah SWT. Akal kita memahami, bahawa setiap yang wujud memerlukan sebab, sedangkan yang tiada tidak memerlukan. Atas keadaan itu, maka dikau ditanya dan setiap makhluk jua ditanya tentang dirimu, di dalam setiap tingkatan dari yang zahir hinggalah hal yang tiada, "Bagaimanakah dikau mampu menyampai kenikmatan ini?" "Dengan apakah dikau memperolehnya?" "Adakah dikau bersyukur?" Sedangkan yang memiliki akal tidak akan ditanya tentang batu, mengapakah batu itu boleh bertukar menjadi pokok? Dan mengenai pokok, mengapa pokok itu boleh bertukar menjadi manusia?

Wahai manusia yang berbahagia, tapi kasihan dan tertipu. Dikau adalah satu titik di antara rantai alam semesta. Dikau telah memperolehi kenikmatan-kenikmatan yang banyak, sebanyak jumlah apa yang ada padamu hingga kepada hal-hal yang tiada. Dikau bertanggung jawab atas mensyukurinya.

Adapun apa-apa yang berada di atasmu, maka dikau dan siapa sahaja tidak berhak untuk bertanya, mengapa dikau mampu sampai kepada darjat yang lebih tinggi dari darjat asalmu? Seperti halnya dikau tidak berhak bertanya kepada matahari, "Kenapa aku tidak menjadi matahari? Ataupun lebah?, dikau tidak berhak untuk bertanya, "Kenapa aku tidak menjadi pohon kurma yang dapat berbuah?"

No comments:

Post a Comment