Wednesday, January 28, 2009

KEISTIMEWAAN ISLAM

Islam merupakan agama yang paling istimewa dan praktikal dengan kehidupan manusia dan menepati kehendak naluri sifat semulajadi manusia.Keindahan dan keistimewaan Islam dapat dilihat pada beberapa aspek yang menjadikan Islam itu sebagai sebuah agama yang menjadi dasar kehidupan umat manusia.

1. RABBANIYYAH ( KETUHANAN )

Rabbaniyyah bermakna Islam yang merangkumi hukum hakam,konsep,prinsip dan nilai-nilai peraturan hidup manusia adalah mutlak milik Allah S.W.T.Islam agama Allah S.A.W sebagaimana keterangan pada bab yang lepas dan agama-agama yang lain tidak diterima oleh Allah S.W.T sebagaimana firmanNya:

" Sesungguhnya agama yang diredai Allah S.W.T ialah agama Islam"
( Surah Al –Imran ayat : 19 )

Dan firmanNya:

" Sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam maka dia termasuk dalam golongan mereka yang rugi di akhirat nanti"
( Surah al-Imran ayat : 85 )

Islam dicipta oleh Allah S.W.T Manakala agama-agama lain adalah hasil ciptaan idea dan falsafah serta pandangan manusia.Sesiapa yang menganut agama lain adalah sesat.
Islam adalah satu pegangan yang jitu,bersih daripada kejahilan dan dorongan hawa nafsu.Ini bermakna Islam adalah agama yang sempurna dan indah dalam segala aspek kehidupan manusia baik soal bermasyarakat,ekonomi, politik,sosial dan sebagainya.
Perlu ditegaskan bahawa Islam dan semua makhluk ciptaanNya adalah mutlak milik Allah S.W.T.Seandainya berlaku bala bencana yang Allah S.W.T berikan hendaklah manusia itu mengucapkan pengakuan bahawa semua makhluk milik Allah S.W.T dan semua akan kembali kepadaNya.Dalam pada itu apabila kita menyatakan Islam milik Allah S.W.T maka perlu kita menyakini bahawa Allah S.W.T jualah yang memberi dan menetapkan peraturan hidup manuisa yang wujud terkandung dalam al-Quran dan Hadith serta Sirah Rasulullah S.A.W.
________________________________________
2. SYUMULIYYAH ( LENGKAP )

Syumuliyyah bermakna bahawa Islam itu lengkap dan sempurna malah tiada cacat celanya yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia.Segala apa yang diterangkan oleh Islam adalah benar dan nyata belaka.Segala apa yang dihadapi oleh manusia semuanya terdapat penyelesaian dalam al-Quran sedikit pun tidak ditinggalkan.Allah S.W.T mengetahui kehendak dan kekurangan manusia maka dengan sebab itulah manusia diberi peraturan hidup yang mampu memenuhi keperluan manusia.

Sebagai contohnya kalau seseorang itu ingin bersosial sudah ada peraturan yang digariskan oleh Islam seperti haram pergaulan lelaki dengan perempuan,haram mendedahkan aurat dan sebagainya.

Kalau ingin maju dalam pentadbiran,ekonomi,kebudayaan atau sebagainya,maka sudah ada peraturan yang Islam letakkan hanya perlu mendalami isi al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.Oleh yang demikian manusia hanya perlu tunduk dan patuh kepada segala perintah dan peraturan Islam kerana apa-apa yang disarankan oleh Islam adalah semata-mata memberi kebahagian hidup manusia dunia dan akhirat.
Peraturan dan perundangan Islam adalah seimbang dan mudah dalam semua perkara.Islam telah menyediakan segala kemudahan dan pilihan dalam menyelesaikan masalah sebagai contoh kalau tiada air untuk berwuduk maka boleh bertayammum.

3. WAQI’IYYAH ( BENAR DAN NYATA )

Al-Waqiiyyah bermaksud ajaran Islam adalah bersifat praktikal dan sesuai diamalkan dalam kehidupan manusia.Apa-apa persoalan yang ditimbulkan oleh manusia yang bersangkut paut dengan kehidupan mereka dapat diselesaikan oleh Islam melalui ajaran-ajarannya yang benar lagi tepat sekali.

Masalah kehidupan manusia adalah dalam pengetahuan Allah S.W.T dan Dia sahajalah yang berkuasa menyelesaikan masalah yang dihadapai oleh manusia .Misalnya bagi menyelamatkan nasab dan keturunan manusia Islam menyarankan berumahtangga dan mengharamkan zina serta meletakkan hukum rejam atau sebat bagi penzina dengan tujuan menjaga kehormatan manusia.

Sehubungan dengan itu juga Islam memberi ruang kepada manusia untuk berfikir bagi memajukan tamadun manusia dan ilmu.Islam menggalakkan manusia bersikap positif, kreatif.inovatif dan mempunyai wawasan untuk kemajuan di mana kemajuan hendaklah seimbang dengan keperluan rohani.

Ajaran Islam tidak ada kesangsian dan syak wasangka pada kebenaran dan perlaksanaanya.Segala peraturan yang di buat oleh Islam sama ada ibadat,sosial,pentadbiran dan seumpamaya adalah begitu indah dan menepati kehendak manusia.

4. ALAMIYYAH (SARWA JAGAT/GLOBAL)

Alamiyyah bermaksud ajaran Islam adalah sesuai untuk semua manusia tanpa mengira bangsa,keturunan,warna kulit,tempat dan zaman.Allah S.W.T sesungguhnya telah memuliakan manusia dengan pelbagai nikmat rezeki dan kemudahan dengan memudahkan manusia menjalankan urusan pentadbiran di bumi ini sebagai khalifah.
Alamiyyah Islam membawa keadilan yang sejagat kepada seluruh alam terutamanya manusia.Keadilan Islam bukan hanya terbatas kepada individu ,puak,keturunan,warna kulit dan sempadan malah keadilan Islam adalah alamiyyah iaitu menyeluruh.Oleh itu Islam memerintahkan umat manusia menegakkan keadilan dalam setiap urusan manusia,rumahtangga,masyarakat dan negara.Keadilan Islam hendaklah ditegakkan tanpa mengira kawan atau lawan sesama Islam atau bukan Islam.

Ini terbukti apabila Rasulullah S.A.W telah menolak diringankan hukuman potong tangan ke atas Fatimah binti al-Aswah seorang wanita golongan bangsawan Bani Makhzum yang telah mencuri.Demikian juga diriwayatkan bahawa Baginda S.A.W sendiri akan memotong tangan anaknya Fatimah sekiranya dia mencuri.

Sudah jelas dan amat nyata sekali kepada kita bahawa Islam itu adalah agama yang indah dan memenuhi kehendak manusia.Islam menjamin kehidupan yang hakiki dan memberi kesejahteraan abadi kepada manusia di akhirat.
________________________________________

No comments:

Post a Comment