Saturday, January 24, 2009

SEJARAH RINGKAS MADRASAH IDRISIAH




Madrasah Idrisiah terletak di Bukit Chandan , Kuala Kangsar , Perak. Ditubuhkan pada 1918 dan mula beroperasi secara rasmi pada 1922/1340 H. Mendapat nama sempena nama pengasasnya iaitu Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah ibni al-Marhum Raja Bendahara Alang Iskandar. Madrasah ini merupakan Sekolah Menengah Agama Diraja pertama di negeri Perak. Pada zaman kegemilangannya Madrasah Idrisiah telah berjaya melahirkan ramai alim ulama dan tokoh Islam yang disegani baik di dalam mahupun diluar negeri perak, Pada masa sekarang Madrasah Idrisiah kembali membangun seiring dengan kebangkitan syiar Islam di Malaysia.
• 1922 Hingga 1984 Madrasah Idrisiah telah beroperasi dengan menerima pelajar sulungnya pada tahun 1922 seramai 73 orang yang terdiri daripada anak-anak yatim. Pada tiga tahun pertama Madrasah Idrisiah hanya menerima pelajar-pelajar dari golongan anak yatim. Kemudian, oleh kerana permintaan untuk belajar di Madrasah Idrisiah semakin meningkat dari masyarakat sekitar, pihak pentadbiran Madrasah Idrisiah memutuskan untuk menerima kemasukan pelajar yang bukan dari golongan ank yatim juga.
Pada masa itu bilangan guru yang mengajar hanyalah seramai 8 oran termasuk mudir iaitu bersamaan dengan jumlah kelas yang ada pada masa itu. Sudah menjadi lumrah, setiap yang di atas akan jatuh ke bawah ibarat roda yang berputar, begitu juga dengan Madrasah Idrisiah yang turut mengalami zaman kejatuhannya ketika pentadbiran mudir kelima iaitu Dato' Haji Abu Al-Hassan b. Abd Majid.
Walaupun pelbagai usaha telah dijalankan untuk mengekalkan zaman kegemilangannya, Madrasah Idrisiah tidak mampu bertahan berikutan dengan pelbagai tekanan dan masalah yang dihadapi. Antara faktor utama ialah masalah kekurangan guru akibat perpindahan guru ke tempat lain. Faktor keduanya, Madrasah Idrisiah menerima kemasukan pelajar-pelajar lemah dan tidak mampu menguasai pelajaran yang diajarkan. Bagi menaikkan kembali pencapaian Madrasah Idrisiah Dato' Haji Abu Al-Hassan telah menerima kemasukan pelajar perempuan namun usaha tersebut juga menemui kebuntuan.
Madrasah Idrisiah mengalami zaman kemerosotannya selama hampir 15 tahun. Tuan Haji Nawawi iaitu mudir ke-6 telah menyambung perjuangan Dato' Haji Abu Al-Hassan untuk membangunkan kembali Madrasah Idrisiah.
• 1985 Hingga Sekarang Apabila sistem Kurikulum Baru Sekolah Menengah diserapkan, guru-guru lama tidak dapat menyesuaikan diri. Bermula dari sini masalah tenaga pengajar timbul di Madrasah Idrisiah. Madrasah Idrisiah telah menerima 12 orang guru wakaf untuk mengisi kekosongan guru. pendapatan mereka dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeriPerak. Sehingga kini Madrasah Idrisiah mempunyai 12 orang guru kementerian dan 23 orang guru wakaf.
Pada tahun 1986 pelbagai pembaharuan telah dilakukan di Madrasah Idrisiah. Perubahan pertama ialah waktu pembelajaran, para pelajarnya diwajibkan menjalani 6 hari persekolahan dalam seminggu. Setiap hari waktu persekolahan bermula pada pukul 7.30 pagi hingga 1.50 tengahari. Kecuali Hari Jumaat berakhir pada 11.50 pagi. Waktu persekolahan 6 hari seminggu dijalankan berdasarkan beberapa sebab iaitu bagi mengekalkan pengajian-pengajian tradisional (pengajian kitab turas) dan memasukkan mata pelajaran akademik. Sebab yang kedua ialah untuk memenuhi waktu belajar bagi mengelakkan pelajar dari membuang masa.
Perubahan lain yang dilakukan ialah menguatkuasakan semula undang-undang pemakaian pakaian seragam iaitu bagi pelajar putera mereka wajib memaki pakaian seragam putih termasuk songkok dan berkasut hitam. Bagi pelajar puteri pula mereka wajib memakai pakaian seragam sama seperti pelajar sekolah biasa termasuk bertudung putih dan berkasut hitam. Selain daripada itu pemakaian baju melayu dan bersampin hijau masih digunakan oleh pelajar putera untuk bersolat jumaat dan majlis-majlis rasmi. Pada tahun 1988, pemakian baju batik telah dimulakan dan dipakai pada hari sabtu waktu persekolahan dan apabila keluar dari kawasan Madrasah Idrisiah juga untuk majlis-majlis rasmi.
Kelas pendidikan Empat Thanawi pula telah diadakan pada waktu sebelah petang. Ini bagi melengkapkan diri para pelajar dengan ilmu agama yang secukupnya sebelum meninggalkan Madrasah Idrisiah.
• Senarai Nama Mudir Madrasah Idrisiah 1922-2005

1. Tuan Haji Muhammad b. Haji Salleh (1922-1924)
2. Tuan Sheikh Abdullah Maghribi (1924-1932)
3. Sheikh Abdullah Fahim b. Haji Ibrahim (1932-1948)
4. Tuan Haji Sheikh Az-Zubir (1948-1976)
5. Dato' Haji Abu Hassan b. Abdul Majid
6. Tuan Haji Nawawi b.Hassan
7. Ustaz Musa b. Zainudin A.M.P,P.J.K (1985-1999)
8. Tuan Haji Kamaruddin b.Ahmad A.M.P,P.P.T (1999-Sekarang)

• Antara Sebahagian Tokoh-tokoh Kelahiran Madrasah Idrisiah :

1. Tuan Haji Ismail bin Haji Hamzah – Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-2
2. Tuan Haji Muhammad Tahir Muhammad Saman - Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-3
3. Tuan Haji Sha'aya bin Abdul Majid - Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-4
4. Dato' Haji Abu Hassan bin Abdul Majid - Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-5
5. Dato' Haji Muhammad Ghazali Abdullah - Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-6
6. Dato' Seri Haji Abdul Malek bin Haji Nordin - Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-7
7. Dato; Seri Haji Harussani bin Haji Zakaria - Mufti Kerajaan Negeri Perak ke-8
8. Dato' Haji Ghazali bin Haji Abdullah - Mufti Kerajaan Negeri Selangor ke-3
9. Dato' Haji Md. Salleh bin Hassan Farid - Mufti Kerajaan Negeri Selangor ke-4
10. Tuan Haji Abu Bakar bin Mat Yasin - Mufti Kerajaan Negeri Pahang ke-4
11. Dato' Muhammad Yusuf Ismail - Mufti Wilayah Persekutuan ke-5
12. Tuan Guru Haji Abu Bakar Bakir – Pejuang kemerdekaan & Pengasas Maahad Ehya’ Asy Syarif G. Semanggol.
13. Dato' Seri Muhammad Asri bin Hj Abdullah - Kadhi Besar & Ketua Hakim Syarie Perak ke-7(sekarang)
14. Dato' Haji Sulaiman bin Abdul Kadir - Kadhi Besar & Ketua Hakim Syar'ie Negeri Perak ke-6
15. Tuan Guru Haji Mohd Khair - Pakar Ilmu Falak & Mudir Madrasah Taufiqiah.
16. Tuan Guru Haji Ahmad Fuad - Pejuang kemerdekaan & YDP PAS Malaya Pertama
17. Tuan Guru Muhammad Saman - Guru Besar Tasauf, Pelopor Tarikat Samaniah Malaya & Pengasas Madrasah As-Samaniah K.Kangsar .
18. Profesor Zulkifli Muhammad - Pejuang kemerdekaan & YDP PAS Malaya Kedua.

- Dr. Ahmad Nakaei Ahmad, Dato’ Dr. Yusuf Noor, Dato’ Dr. Hamid Othman, Prof. Dato’ Ismail Ibrahim, Prof. Dato’ Osman Bakar, dll.

1 comment:

  1. SALAM, akhirnya jumpe gak blog MaDiD.Blh tahu ttg sjrh,gmbr&citer sbenar.Klu boleh nak tau lebih lanjut...

    ReplyDelete