RANCANGAN MASA DEPAN MUSLIM MANAGEMENT CONSULTANT
Nama Projek: Taman Ilmu & Institut Pengajian Ilmu Islam Az Zahra’
Lokasi Projek: Ipoh, Perak Darul Ridzuan
Keluasan Tapak Sedia Ada: 10 ekar.
Pengusaha Projek: MUSLIM MANAGEMENT CONSULTANT (MMEC GROUP)
Muqaddimah
Institusi pengajian pondok merupakan antara sistem pengajian awal yang tumbuh di negara ini selepas melalui suatu zaman di mana kebanyakan rakyat jelata belajar ilmu secara tidak formal dengan tiadanya sebarang institusi tersusun dan tetap. Kita dapat melihat bagaimana dari dahulu sehingga sekarang sistem pengajian ilmu agama samada pengajian kitab atau ceramah di masjid dan surau terus berlangsung sebagai tambahan dan juga pengisian yang penting walaupun telah wujud sistem pengajian yang semakin berkembang dengan pesat melalui sistem pengajian formal yang lebih tersusun. Begitulah juga yang berlaku terhadap institusi pengajian pondok yang terus kekal walaupun tidak serancak zaman kegemilangannya dalam mengeluarkan golongan faham agama yang mampu bergerak bersama arus perdana dalam menyumbangkan khidmat dan bakti demi kepentingan agama dan negara. Institusi pengajian pondok dengan falsafah pendidikannya yang tersendiri disamping beberapa keistimewaan yang tidak mampu diambil alih oleh sistem pendidikan moden tetap menjadi pilihan sebagai pusat pendidikan alternatif sehingga ia mampu bertahan sehingga ke hari ini.
Sistem pengajian tradisional yang diwarisi daripada ulama' silam terus dipertahankan oleh institusi pondok sehingga ia pada zahirnya nampak lemah tetapi hakikat asasnya begitu teguh dan utuh yang tidak goyah ditiup angin peredaran zaman dan tidak runtuh dipukul ombak perubahan masa. Apa yang pasti ialah sesuatu yang lama jika bermanfaat mesti dipertahankan daripada mengagungkan sesuatu yang baru dan moden sedangkan ia nampak cantik buat seketika dan manfaatnya tidak lama di mana akhirnya ia memakan diri kita sendiri. Begitulah yang sedang menimpa sistem pendidikan moden yang gah dari segi pembangunan material dan tersusun dari segi sistem pengajiannya tetapi bagaikan ada sesuatu yang tidak kena sehingga gagal dalam menangani masalah kepada meningkatnya masalah sosial di kalangan pelajar dan mereka yang telah menamatkan pelajaran. Sikap menjadikan ilmu sebagai bahan jualan dan sijil sebagai suatu buruan menyebabkan amanah ilmu tidak lagi dijaga. Malah sikap buruk yang menyebabkan semakin tinggi ilmu yang dipelajari maka semakin kuat rasa megah dalam diri turut merosakkan akhlak muda mudi di dalam masyarakat. Akhirnya ilmu yang sepatutnya menjadi bekal dan asas dalam melahirkan keperibadian yang mulia gagal dimanfaatkan sebaliknya ia disalahgunakan sehingga masyarakat menjadi rosak walau pun ilmunya banyak.
Menyedari tentang perlunya kita kepada asas pendidikan yang betul dan bertepatan dengan apa yang pernah ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w serta diikuti oleh para pewaris nabi daripada kalangan ulama' maka kita wajib mencontohinya agar kegemilangan ilmu dan tamadun Islam yang bersepadu antara kebendaan dan kemanusiaan dapat kembali berulang. Ambillah keistimewaan yang ada pada sistem tradisional untuk diadunkan dengan sistem moden sehingga kita tidak menjadi seumpama orang yang kerugian akibat membuang manfaat yang ada sedangkan apa yang dikejar belum tentu diperolehinya malah jika diraih pun belum tentu ia bermanfaat.
Di samping itu semua institusi pengajian samada tradisional atau moden mesti bekerjasama dalam setiap perkara dalam menangani masalah buta agama serta pembinaan tamadun yang berasaskan islam mengikut kepakaran dan kemahiran yang ada hasil daripada ilmu yang ditimba.
Projek pembangunan Taman Ilmu & Pondok Moden Az-Zahra’ dibahagikan kepada tiga fasa.
Fasa pertama ialah pembinaan Pondok Moden Az-Zahra’,
fasa kedua ialah pembinaan Pusat Latihan Az-Zahra’ dan fasa ketiga ialah pembinaan Pusat Kebajikan dan Pendidikan Az-Zahra’.
FASA PERTAMA
________________________________________
Pembinaan fasa pertama mengandungi sebuah pejabat urusan, musalla, 13 buah pondok bujang, 7 buah pondok kelamin,
bilik guru, rumah tuan guru, maktabah, dewan makan & dapur, bilik air & tandas umum.
FASA KEDUA
________________________________________
Penubuhan Taman Ilmu Az-Zahra’ adalah merupakan rancangan jangka panjang yang diusahakan oleh Lembaga Pengurusan Muslim Management Consultant agar
penerusan aktiviti pendidikan Islam, dakwah dan kebajikan dapat diwujudkan dalam masyarakat.
Lembaga Pengurusan akan meneruskan pembangunan fasa kedua secara berperingkat setelah selesai pembangunan fasa pertama.
Dibina di atas kawasan semulajadi yang indah dan kehijauan dengan air terjun, anak sungai, mata air dan kolam.
Pembinaan fasa kedua adalah bertujuan untuk menambah dana dan menjana keutuhan ekonomi agar rancangan fasa ketiga dapat dibangunkan dengan
lancar dan jaya.
FASA KETIGA
________________________________________
Pembangunan fasa ketiga akan diteruskan pada masa akan datang dengan pembelian dan penambahan keluasan tanah sedia ada seluas 5 ekar menjadikan keluasan sepenuhnya 15 ekar.
Fasa Pertama: Pondok Moden Az Zahra’
Pengenalan
Institusi Pondok adalah merupakan institusi pengajian Islam yang merangkumi pendidikan dan tarbiah yang melahirkan manusia yang taat dan berilmu. Hakikat ini jelas kerana di pondok penekanannya bukan semata-mata belajar, tetapi serentak dengan penekanan dalam bentuk tarbiah, tunjukajar serta penekanan kepada riadah rohaniah yang dibina pada setiap pelajarnya.
Sistem pengajian pondok ini telah berjaya membangunkan pembangunan mental dan fizikal ummah, yang mana terbukti dengan lahirnya ramai ulama'-ulama' terkenal, para pemimpin masyarakat, pendakwah-pendakwah yang bertaqwa dan ikhlas.
Seperti pondok-pondok yang lain pondok moden Az Zahra’ ditubuhkan bagi menampung keperluan umat Islam amnya dan masyarakat setempat khususnya dalam merealisasikan keutuhan pendidikan, tarbiah dan akhlak islamiah dalam kehidupan seharian.
Pondok Moden Az Zahra’ menitik beratkan pendidikan ilmu-ilmu pengetahuan Islam dan akhlak kepada para pelajar. Disamping menggunakan kitab-kitab turas berbahasa arab dan jawi, para penuntut turut dibimbing dengan ilmu-ilmu tasauf dan akhlak islamiah didalam membina jati diri dan jiwa setiap penuntut. Di sini juga turut memberi penekanan terhadap ilmu-ilmu alat iaitu ilmu nahwu, sorof, balaghah dan mantik.
Suatu yang paling istimewa bagi para penuntut di sini dan berbeza dengan insituisi-insituisi pondok lain ialah pendekatan Risail an-Nur digunakan sebagai sukatan asas pengajian di sini. Kitab Risail an-Nur karangan al Imam Mujaddid Badiuzzaman Said An Nursi merupakan sukatan utama dan asas bagi sukatan pengajian di pondok ini.
Matlamat
i. Untuk melahirkan satu generasi dari umat Islam yang boleh dan mampu untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba kepada Allah SWT dan juga sebagai kalifah di muka bumi ini
ii. Memberi pendidikan ilmu kepada pelajar-pelajarnya yang boleh membawa mereka mengenali Allah SWT pada tahap yang dikehendaki oleh syariah Islam. Mengenali hakikat alam ini serta hakikat insan.
iii. Untuk mendidik akal dan hati supaya memiliki ciri-cirinya yang sebenar yang diperlukan oleh sebuah masyarakat yang mana merupakan paksi yang kukuh dalam pembentukan peribadi muslim yang hakiki lagi berwibawa.
iv. Untuk melahirkan para ilmuan yang mempunyai keperibadian yang bersepadu, dengan itu maka mampu mereka menyelesaikan masalah-masalah yang timbul di kalangan masyarakat melalui acuan-acuan Islam yang sebenar.
Sistem dan Konsep pengajian pondok moden
Pondok moden Az Zahra’ sama seperti pondok lain dengan konsep pengajian tradisionalnya seperti pengajian berhalaqah, pengajian kitab dari kulit ke kulit, mengutamakan hafazan, amat menitik beratkan ilmu-ilmu alat dan amalan-amalan kerohanian dan tasauf.
a) Sistem halaqah: iaitu para pelajar duduk bersila di hadapan mengelilingi guru sambil menadah kitab pengajian. Reha (meja kecil) disediakan bagi memudahkan proses pembelajaran.
b) Sistem hafazan “Matan”: para pelajar diwajipkan menghafaz matan ‘al-jurumiah’ bagi ilmu ‘Nahwu’, dan matan ‘al-bina’ bagi ilmu ‘Sorof’. Begitu juga matan ‘Abu Sujak’ bagi ilmu ‘Feqh’ dan matan ‘ Ummu Barahin’ bagi Tauhid. Hafazan matan amat perlu bagi menguasai sepenuhnya bahasa arab, feqh dan aqidah.
c) Pengajian kulit ke kulit: tiada sukatan pengajian tertentu dalam proses pembelajaran pondok. Sesebuah kitab akan ditelaah dan dipelajari bermula dari muka pertama hingga akhir, agar para pelajar benar-benar menguasai ilmu yang dipelajari.
d) Majlis Zikir: Selepas solat Subuh zikir Al_Ma’thurat (Imam Syahid Hasan al-Banna), selepas solat Asar zikir Ratib al-Haddad (Imam Mujaddid Abdullah Bin Alwi al-Haddad)dan bacaan Barzanji disetiap malam isnin.
Musolla
Sebuah musolla yang dapat menampung 450 orang jamaah dalam satu masa turut di bina bagi menampung keperluan peribadatan dan pengajian para pelajar.
Kediaman Penuntut
Para penuntut akan ditempatkan di pondok-pondok kecil dengan bentuk binaan yang sama dan moden serta lengkap dengan kemudahan-kemudahan elektrik dan bilik air. Bagi pondok kelamin, dan tanpa bilik air bagi pondok bujang. Setiap pondok menempatkan 3 orang penuntut.
Sistem Masakan
Beberapa kumpulan akan diwujudkan dikalangan para penuntut. Dan setiap kumpulan akan ditugaskan untuk memasak makanan bagi seluruh para penuntut mengikut jadual yang telah disusun dan ditetapkan.
Sebuah dapur yang lengkap dan dewan makan dibina khas berhampiran perkampungan penuntut.
Pengambilan Penuntut Baru
Pondok Moden Az Zahra’ lebih mengutamakan kualiti berbanding kuantiti. Setiap tahun hanya 21 orang penuntut baru akan diterima sebagai pelajar di sini. (jumlah ini tidak termasuk para penuntut khas yang terdiri daripada kalangan saudara baru, warga emas dan penuntut pelamin).
Kitab Pengajian (tahun pertama)
1. Kitab Risail An Nur (Imam Badiuzzaman Said an-Nursi)
2. Safinah An Naja (Syekh Salim bin Abdullah bin Sa'ad bin Sumair Al-Hadhrami)
3. Ihya’ Ulumuddin (Imam al-Ghazali)
4. Matan Arbain (Hadis)
5. Sirus Salikin (Syeikh Abdul Samad Palembangi-Tasauf)
6. Matan Bina’ (Sorof)
7. Matan Aljurumiah (Nahwu)
8. Aqidah An Najin (Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani)
9. Matan Ummu Barahin (Aqidah)
10. Feqh Sirah (Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti)
11. Bahasa Inggeris
Kitab Pengajian (tahun kedua)
1. Kitab Risail An Nur (Imam Badiuzzaman Said an-Nursi)
2. Matan Abu Sujak
3. Ihya’ Ulumuddin (Imam al-Ghazali)
4. Sunan Abu Daud (Abu Daud Sulaiman bin Al-Asy'ats As-Sijistani)
5. Sirus Salikin (Syeikh Abdul Samad Palembangi-Tasauf)
6. Matan Izziy (Ilmu Sorof)
7. Kitab Mukhtasar Jiddan (Nahwu)
8. Aqidah An Najin (Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani)
9. Safinah An Naja (Syekh Salim bin Abdullah bin Sa'ad bin Sumair Al-Hadhrami)
10. Feqh Sirah
11. Bahasa Inggeris
12. Bahasa Mandarin
Kitab Pengajian (tahun ketiga)
1. Kitab Risail An Nur
2. Al-Iqna’
3. Al-Hikam Ibnu Ata’illah (Tasauf)
4. Sunan Abu Daud (Hadis)
5. Syarah al-Khailani (Nahwu)
6. Hashyah Asmawi (Sorof)
7. Syarah Aqidah Thohawiyyah Syarah Ibnu Asakir (Tauhid)
8. Balaghah Al Wadihah (Ilmu Balaghah)
9. As Sulam (Ilmu Mantik)
10. Aqidah An Najin
11. Usul Feqh (Dr. Muhammad Abu Zahrah)
12. Bahasa Inggeris
13. Bahasa Mandarin
• satu-satu kitab yang telah selesai ditelaah akan digantikan dengan kitab baru mengikut sukatan yang telah ditetapkan, dari tahun pertama hingggalah ke tahun akhir pengajian (tahun kelapan).
Maktabah/Perpustakaan
Sebuah maktabah yang lengkap dengan kitab-kitab turas utama turut disediakan bagi menampung keperluan pembelajaran dan rujukan para pelajar.
Kursus Kemahiran & Pengajian Tambahan
i. Kursus Ruqyah (rawatan & perubatan Islam mengikut al-Quran & as-Sunnah)
ii. Kursus memperbaiki engine motorsikal
iii. Kursus perniagaan, penternakan dan pertanian
Tempoh Pengajian
Tempoh pengajian: 5 tahun.
Pengajian tambahan: 3 tahun (bagi yang berminat meneruskan pengajian ke peringkat Niha’iy (terakhir/tertinggi)
Syarat Kemasukan
Berumur 18 tahun ke atas dan memiliki Sijil Pengajian Malaysia (SPM)
Sijil Pengajian
i. Syahadah Diploma bagi penuntut yang berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh 5 tahun.
ii. Syahadah an-Niha’iyyah bagi penuntut yang berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh 8 tahun.
Aktiviti Waktu Cuti
Aktiviti Ekonomi
i. Bercucuk tanam dan berkebun
ii. Membersihkan ladang ternakan dan sawit
iii. Penternakan ikan air tawar
iv. Bekerja di bengkel motorsikal
Aktiviti Lasak
i. Jungle tracking
ii. berkhemah di hutan
iii. Mendaki
Yuran
Yuran Pengajian, penginapan dan makan ditanggung sepenuhnya oleh Muslim Management Consultant.
Lembaga Pengurusan & Pentadbiran Pondok Moden Az Zahra’
Penasihat:
Mudir/Guru Utama: (masih dalam pencarian – keutamaan berilmu tinggi, berumur 55 tahun ke atas, warak dan zuhud)
Naib Mudir/Pentadbiran: Tuan Guru Ustaz Nur Khairulnizam Bin Jalaluddin (IUA Sudan)
Setiausaha: Tuan Guru Ustaz Mohd Faiz Bin Mokhtar (IUA Sudan)
Bendahari: Tuan Guru Ustaz Mohd Kamal Bin Nasaruddin (Univ. Atbara Sudan)
Penyelaras Pendidikan: Tuan Guru Ustaz Muhammad Irwan Shah (IUA Sudan)
Penyelaras Kitab Turas: Tuan Guru Ustaz Mazlan Bin Muhammad (IUA Sudan)
Penyelasan Kokurikulum/Tarbiah: Tuan Guru Abdul Aziz Che Omar (IUA Sudan)
Penyelaras Dana & Pembangunan: Tholib an-Nur Muhammad Razif bin Mohamed Zuki (IUA Sudan)
Fasa Kedua: Az Zahra’ Learning & Training Center
Pengenalan
Az Zahra’ Learning & Training Center menawarkan suasana damai di pinggir kota yang berhutan hujan tropika, kolam, sungai, mata air, air terjun kecil dan suasana kehijauan.
Az Zahra’ Learning & Training Center menganjurkan program-program motivasi, kursus, perkhemahan dan hari keluarga.
Sekolah-sekolah, jabatan-jabatan kerajaan dan swasta, pertubuhan dan mana-mana organisasi boleh mengadakan perkhemahan motivasi jika mahukan kelainan kerana selain asrama, chalet dan pondok, tapak perkhemahan untuk 200 orang peserta turut disediakan di sini.
Turut disediakan dewan kuliah berhawa dingin untuk keselesaan mereka yang mahu menganjurkan kursus, seminar, kem motivasi atau program percambahan fikiran. Turut disediakan, dewan terbuka pelbagai guna untuk sebarang kegiatan serta restaurant bagi menjamu selera para pelawat.
Aktiviti-aktiviti luar turut dianjurkan. Antaranya, jungle trekking, melepasi halangan, dan berkayak, menuruni bukit dengan tali, flying fox merentasi tasik buatan, mendaki dan aktiviti alam sekitar.
PROGRAM
-Program Motivasi dan Induksi
-Kursus, Seminar dan Persidangan
-Hari Keluarga
-Khemah Kesedaran Alam Sekitar
-Sukan lasak dan mencabar
-Absailing
-Flying Fox
-Pengembaraan Hutan / Jungle Tracking
-Memanjat Gunung
-Berkayak di tasik
-Perkhemahan, BBQ dan Unggun Api
Lembaga Pengurusan Az Zahra’ Learning & Training Center
Pengerusi: Tuan Guru Haji Mohamed Zuki Bin Haji Idris
Timbalan Pengerusi: Tuan Guru Ustaz Saiful Azam Bin Shamsul Anuar (DarulHadith Pakistan)
Setiausaha: Tuan Guru Ustaz Mohd Faiz Bin Mokhtar (IUA Sudan)
Bendahari: Tuan Guru Ustaz Mohd Kamal Bin Nasaruddin (Univ Atbara Sudan)
Penyelaras Aktiviti: Tuan Guru Ahmad Fathiyakan Bin Mohamed Zuki (UKM)
Penyelaras Latihan & Dakwah: Tuan Guru Ustaz Muhammad Syarifuddin Ishak (IUA Sudan)
Penyelaras Promosi: Tuan Guru Abdul Jalil Armawan (IUA Sudan)
Penyelaras Dana & Pembangunan: Tholib an-Nur Muhammad Razif bin Mohamed Zuki (IUA Sudan)
Fasa Ketiga: Pusat Kebajikan dan Pendidikan Anak Yatim, Warga Emas, Ibu Tunggal dan Saudara Baru Az-Zahra’
Pengenalan
Membawa mesej : Sebuah keluarga besar yang bernaung dibawah satu nama dengan satu ikatan kasih sayang dan kekeluargaan yang tinggi.
Menjadi platform atau penghubung untuk mempertemukan di antara para dermawan dengan golongan yang susah dan memerlukan pertolongan.
Tempat menjana insaniah dan minda yang cemerlang agar mampu merubah nasib diri, keluarga dan masyarakat. Peka dengan penderitaan orang lain.
Saling berkasih sayang dan mengambil berat dan bersungguh-sungguh untuk membaiki prestasi diri di atas prinsip-prinsip berikut:
• Mendekatkan diri dengan Allah dan bersangka baik denganNya kerana Dialah sebaik-baik pembela, pemberi rezeki dan amat belas kasihan kepada semua makhluk ciptaanNya.
• Tidak merasa kesal dengan takdir yang ditentukan Tuhan kerana ada yang lebih bernasib malang dari kita.
• Sentiasa bekerjasama dalam memotivasikan diri agar lebih optimis untuk menempa kejayaan di masa depan.
• Berbekalkan pengalaman hidup yang susah, menjadi pemangkin kepada setiap diri untuk turut sensitif dengan kesusahan orang hingga terdorong untuk turut membantu sedaya yang ada.
• Sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dianugerahkan dan redha dengan nasib yang ditakdirkan ke atasnya kerana yakin ada jutaan hikmah dan kebaikan yang tersembunyi disebalik setiap yang berlaku dan itulah tanda sedang berada di dalam kasih sayang dan perhatian Tuhan.
• Amal - walau banyak mana amal dan kebaikan yang telah dilakukan oleh seseorang, belum tentu ianya diterima di sisi Tuhan, untuk itu Pusat Kebajikan & Pendidikan Nur An Nursi menjadi satu lagi alternatif untuk sesiapa yang ingin menambahkan amal dan membuat kebajikan. Sesungguhnya di antara sifat orang bertaqwa itu semakin dia berbuat baik semakin dia terasa dirinya tidak berbuat satu kebaikan pun.
Konsep dan Tujuan
• Menerima anak-anak yatim, saudara baru dan golongan yang perlukan pembelaan seperti ibu tunggal, anak terbiar, Mendaftarkan mereka dan membantu menyelesaikan masalah mereka sedaya upaya.
• Menjalinkan kerjasama dengan mana-mana syarikat agar mereka boleh memberi latihan kemahiran atau menawarkan pekerjaan kepada anak-anak yatim yang telah dewasa, atau golongan yang susah yang ingin menyara keluarga mereka. Para penyumbang yang kebanyakannya memiliki syarikat sendiri akan dimaklumkan dan dirujuk jika ada permintaan dari mereka yang susah untuk mendapatkan pekerjaan.
• Menjadi pusat agihan bantuan berupa barangan keperluan asas kepada golongan anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal dan saudara baru yang terpinggir (dibuang keluarga).
• Menjalankan aktiviti perniagaan yang bersesuaian untuk menambahkan dana bagi menampung keperluan Pusat Kebajikan Nur An Nursi.
• Menganjurkan Majlis-majlis Amal dan jualan amal bagi tujuan mengumpul dana.
• Mengadakan kelas-kelas pengajian Islam separuh dan sepenuh masa secara percuma.
• Mengadakan kelas tuisyen, kelas komputer, kelas bahasa Inggeris untuk meningkatkan kecemerlangan akademik dan kemahiran tambahan di dalam menguasai era IT.
• Mengadakan Lawatan sambil belajar, percutian dengan mencari penaja untuk memberi peluang mereka berhibur dan berekreasi sambil mendapat pengisian rohani untuk membangunkan jiwa mereka.
• Membantu mendapatkan dana bagi menampung kos rawatan untuk anak-anak yatim dan miskin yang menghadapi masalah kesihatan tetapi tidak mendapat rawatan yang sempurna kerana masalah kewangan.
Matlamat Pendidikan Saudara Baru
i. Melatih saudara-saudara baru mengikut acuan dan suasana Islam yang sebenar.
ii. Mengkader pendakwah-pendakwah di kalangan saudara-saudara baru.
iii. Menjaga dan menunaikan tanggungajawab kebajikan, keselamatan, pertolongan serta bantuan kepada saudara baru.
Dalam merealisasikan matlamat yang telah digariskan, Az Zahra’ telah menyediakan tiga bentuk pengajian. Pengajian pondok untuk tempoh dua tahun ke atas, pengajian intensif selama tiga bulan dan pengajian mingguan pada setiap hari Ahad
Lembaga Pengurusan Pusat Kebajikan dan Pendidikan Az Zahra’
Penasihat:
Pengerusi:
Timbalan Pengerusi:
Setiausaha:
Bendahari:
Penyelaras Pendidikan:
Penyelaras Tajaan/Sumbangan:
Penyelaras Aktiviti:
Penyelaras Promosi:
Penyelaras Dana & Pembangunan: Tholib an-Nur Muhammad Razif Bin Mohamed Zuki
Sumber Pembangunan Ekonomi Az-Zahra’
i. ALLAH AR-RAZZAQ
ii. Perniagaan dan pelaburan di Khartoum Sudan. NUR AN NURSI INVESTMENT & SERVICES CO. LTD.
• Maintenance services
• Cleaning services
• Pest Control services
• Container & portable cabin
• Catering services
• Moves & Pack services
• Trading
• Communication & General services
iii. Perniagaan dan pelaburan di Malaysia. MUSLIM MANAGEMENT CONSULTANT SDN BHD
• Perladangan Kelapa sawit
• Pertanian jangka pendek (cili, sayur-sayuran, jagung, kacang)
• Penternakan ikan air tawar (keli, talapia merah, patin)
• Pusat Rawatan & Kesihatan Islam (Traditional)
• Perkhidmatan Catering & Perusahaan Kampung (kerepek, maruku, pekasam dll)
• Penternakan Kambing Jamnapari (projek akan datang)
LEMBAGA PENGARAH MUSLIM MANAGEMENT CONSULTANT GROUP
CEO
Tholib Nur Muhammad Razif Bin Mohamed Zuki
B.A (Adab) International University of Africa Sudan
M.A (Idariyyah wa Tanmiah Ijtimaiyyah) Sudan Open University.
General Manager
Tuan Guru Ustaz Muhammad Kamal Bin Nasaruddin
B.A (Sastera) Atbara Islamic University Sudan
M.A (Usul Feqh) International Islamic University Malaysia
Country Manager
Tuan Guru Ustaz Abdul Jalil Armawan
B.A (Shariah) International Univ. of Africa Sudan
Project Manager (Malaysia)
Tuan Guru Ustaz Muhamad Naufall Bin Mustafa
B.A (Tarbiyyah) International Univ. Of Africa Sudan
Project Manager (Sudan)
Tuan Guru Ustaz Yaakob Bin Ismail
B.A (Shariah) International Univ. of Africa Sudan
Accountant Manager
Dr. Mohd Kamarulzaman Bin Kasim
B.A (Medical) International Univ. of Africa Sudan
M.A (Medical) Uviversity of Abu Dhabi UAE
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Salam...
ReplyDeleteSaya berminat nk ikuti pengajian yang disediakan... macam mana nak apply masuk belajar? Tak jadi belajar..jadi pekerja tolong-tolong apa yang patut pun saya tak kesah...
Macam mana nak hubungi
ReplyDeletesaya dan suami (warga emas umor 60+) ingin belajar ilmu agama dipondok ini . bagaimana caranya. Ada borang yang perlu dikemukakan.Sekiranya ada borang harap dapat emailkan borang berkenaan dialamat norina.zainuddin@yahoo.com.my
ReplyDeletesaya dan suami (warga emas umor 60+) ingin belajar ilmu agama dipondok ini . bagaimana caranya. Ada borang yang perlu dikemukakan.Sekiranya ada borang harap dapat emailkan borang berkenaan dialamat norina.zainuddin@yahoo.com.my
ReplyDeleteBagaimana nak mohon ?????
ReplyDelete