Sesungguhnya Nabi SAW mendoakan berseri-seri wajah orang-orang yang menghadiri majlis ilmu, mendengar sabdanya, memahaminya dan menyampaikan kepada orang lain.
At-Tarmizi meriwayatkan hadith dari Abdullah bin Mas’ud r.a dari Nabi S.A.W yang bermaksud:
“Allah membuat berseri-seri orang yang mendengar sabdaku kemudian memahaminya, menghafaznya dan menyampaikannya. Boleh jadi pembawa ilmu itu pergi kepada orang yang lebih pandai darinya. Tiga perkara yang tidak membuat dengki hati orang muslim; mengikhlaskan amal perbuatan kerana Allah, menasihati pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan komitmen dalam jamaah mereka. Sesungguhnya doa mereka meliputi dari belakang mereka”.
Seandainya ilmu tidak mempunyai kelebihan lain kecuali ini sahaja, maka ini sudah cukup dijadikan sebagai bukti kemuliaan ilmu, kerana Nabi SAW mendoakan orang yang mendengar sabdanya, memahaminya, menghafaznya dan menyampaikannya.
Tingkatan-tingkatan ilmu;
Tingkatan Pertama dan Kedua, tingkatan pendengaran dan pemahaman. Jika ia mendengar sabda Rasulullah SAW ia memahaminya dengan hatinya. Bererti, ia memikirkannya dan berada di dalam hatinya sebagaimana menetapnya sesuatu jika telah ditempatkan pada tempatnya dan ia tidak keluar daripadanya. Begitu juga akalnya, ia adalah seperti tali penambat unta hingga ia tidak lari dari tempatnya. Tempat dan akal itu tidak mempunyai fungsi lain selain untuk mengetahui sesuatu.
Tingkatan Ketiga, Komitmen untuk menghafaz ilmu agar ia tidak hilang.
Tingkatan Keempat, menyampaikan ilmu dan menyebarkannya kepada ummat agar ilmu membuahkan hasilnya, iaitu tersebar luas di kalangan ummat. Ilmu itu tak ubah seperti harta yang tersimpan di perut bumi yang jika tidak diambil, akan musnah. Ilmu, jika ia diinfaq akan berkembang dan tumbuh.
Barangsiapa melaksanakan keempat tingkatan di atas, maka ia termasuk dalam doa Nabi yang mencakupi keindahan fisik dan spikik. Sesungguhnya kecerahan adalah hasil pengaruh iman, kebahagiaan bathin, kegembiraan hati dan kesenangannya, kemudian hal tersebut menampakkan kecerahan, kebahagiaan, kegembiraan dan wajah berseri-seri. Oleh itu Allah SWT mengabungkan kebahagiaan dan kecerahan seperti terlihat dalam firmanNya yang bermaksud;
“maka tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu (kiamat), dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati”. - Al-Insan 11
Kenikmatan dan kebahagiaan hati membuatkan wajah mereka cerah dan berseri-seri sepertimana firman Allah yang bermaksud;
“Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup mereka yang penuh kenikmatan” – Al-Muthaffifin 24
Sabda Rasulullah SAW, “Boleh jadi pembawa ilmu itu pergi kepada orang yang lebih pandai darinya”. Ini merupakan indikasi bahawa boleh jadi orang yang diberi ilmu itu, lebih faham daripada orang yang menyampaikannya, kemudian ia mendapatkan dari sabda tersebut apa yang tidak ia perolehi oleh orang yang menyampaikan kepadanya.
Atau maknanya ialah, bahawa orang yang disampaikan sunnah kepadanya itu lebih pandai daripada orang yang menyampaikan. Jika ia telah mendengar sabda tersebut, ia membawanya dengan cara yang paling baik, mengeluarkan ilmunya dan mengetahui maksud tersebut.
Sabda Rasulullah SAW, “Tiga perkara yang tidak membuat dengki hati orang muslim…”. Maksudnya, hati muslimin tidak berisi dengki sekiranya tiga perkara tersebut ada padanya. Ia memusnahkan perasaan dengki, penipuan dan kerosakan hati serta kotorannya. Orang yang ikhlas kerana Allah, maka keikhlasannya menghalangi kedengkiannya, mengeluarkannya dan menghilangkannya. Kerana dorongan hati dan keinginannya telah tertuju kepada keredhaan Tuhannya, maka ia tidak menyisakan ruang kosong dengan sifat dengki sepertimana firman Allah yang bermaksud;
“Demikianlah, agar Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hambaku yang terpilih”. – Yusuf 24
Ketika Nabi Yusuf telah ikhlas kerana Tuhannya, maka Allah memalingkan daripadanya dorongan-dorongan kejahatan dan kemungkaran”.
Oleh kerana itu, ketika iblis tidak mendapatkan jalan masuk kepada orang yang ikhlas, maka ia bebas dari terkena rayuannya dan penyesatannya. Allah Ta’ala berfirman menjelaska ucapan iblis yang bermaksud;
“Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis di antara mereka”. – Shaad 83
Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud;
“Sesungguhnya hamba-hamba-Ku tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka, kecuali orang-orang yang mengikuti kamu, iaitu orang-orang yang sesat”. – al-Hijr 42
Jadi ikhlas adalah jalan keselamatan, Islam adalah kenderaan keselamatan dan iman adalah perisai keamanan.
Sabda Rasulullah SAW, “menasihati pemimpin-pemimpin kaum muslimin”. Aspek ini juga menghalangi dengki dan penipu. Sesungguhnya nasihat itu tidak akan bekerjasama dengan mimpi kerana ia adalah lawannya. Barangsiapa menasihati pemimpin dan umat ia bebas dari perasaan dengki.
Sabda Rasulullah SAW, “ dan komitmen dalam jamaah mereka”.Aspek ini membersihkan hati daripada perasaan penipu. Sesungguhnya orang yang berada dalam jemaah kaum muslimi, mencintai dan dicintai, membenci apa yang dibenci, sedih dengan kesedihan mereka dan bahagia dengan kebahagiaan mereka.
Ini berbeza dengan pembelot dari jemaah kaum muslimin, sibuk mencaci, mencela dan menghina mereka, seperti yang dilakukan oleh aliran-aliran Rafidhah, Khawarij, Mu’tazilah, Jabariah, sebahagian golongan Wahabi melampau dan sebagainya. Sesungguhnya hati mereka penuh dengan perasaan dengki dan tipuan. Oleh itu anda lihat pengikut aliran Rafidhah merupakan golongan yang paling jauh dari ikhlas, sering menipu pemimpin dan ummat serta paling jauh dari jamaah kaum muslimin.
Sabda Rasulullah SAW, “ Sesungguhnya doa kaum muslimin meliputi dari belakang mereka”. Ungkapan yang amat indah, ringkas namun kaya dengan makna. Rasulullah SAW mengumpamakan doa kaum muslimin seperti pagar atau tembok yang mengelilingi mereka dan menghalangi musuh masuk ke tempat mereka. Kerana doa tersebut adalah Islam yang mereka telah masuk ke dalamnya merupakan pagar untuk mereka. Maka Rasulullah SAW menjelaskan, bahawa barangsiapa komitmen berada di dalam jemaah kaum muslimin, maka doa tersebut (doa islam) melindungi mereka sebagaimana pagar melindungi tanaman. Jadi doa itu menyatukan kekuata ummah, mempersatukan mereka dan melindungi mereka. Barangsiapa yang masuk ke dalam jemaah Islam, maka ia telah dilindungi oleh agama Islam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment