Wednesday, January 28, 2009

PENGERTIAN ISLAM

Sebaik-baik nikmat kurniaan Allah S.W.T kepada umat manusia ialah Islam. Islam merupakan agama yang mulia dan amat sesuai sekali dengan fitrah semula jadi manusia bagi menjamin kebahagian hidup di dunia dan akhirat.

Islam pada bahasa ialah selamat,sejahtera,aman dan damai.Manakala pada pengertian syarak ialah menyerahkan diri dengan mengabdikan diri kepada Allah S.W.T semata-mata,tunduk dan patuh kepada segala suruhan Allah S.W.T dan meninggalkan segala larangan Allah.S.W.T.

Daripada pengertian di atas,Islam adalah agama yang diredai Allah S.W.T dan Islam adalah agama yang memandu hidup manusia ke arah kesejahteraan dan keredaan hidup di dunia dan kenikmatan hidup di akhirat sebagaimana firman Allah S.W.T.

" Sesungguhnya agama yang diredai Allah S.W.T ialah agama Islam"
(Surah Al-Imran ayat: 19)

Dalam pada itu juga Allah telah menegaskan bahawa agama-agama lain yang wujud di dunia ini selain daripada agama Islam tidak akan mendapat tempat di sisi Allah.Sesiapa yang menganut atau mempercayai agama selain agama Islam maka dia adalah tergolong dalam orang-orang yang rugi dan di akhirat nanti akan mendapat balasan yang amat buruk sekali iaitu neraka jahanam.

Firman Allah S.W.T yang berbunyi:
" Sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam maka dia termasuk dalam golongan mereka yang rugi di akhirat nanti"
( Surah Al-Imran ayat: 85 )

Agama-agama lain tidak diterima oleh Allah S.W.T kerana jika diterima,tidak berertilah Allah S.W.T mengutuskan Rasul-rasul untuk mengajar manusia tentang Islam.Jika diterima tidak berertilah Allah S.W.T menjadikan Syurga dan Neraka.Jika diterima tidak bergunalah al-Quran dan al-Hadith.

Islam merupakan agama yang selari dengan fitrah semula jadi manusia dimana setiap insan yang dilahirkan di muka bumi ini telah mengakui Allah S.W.T sebagai Tuhan yang berhak di sembah.Ini adalah selari dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W :
" Setiap anak yang dilahirkan adalah suci iaitu dalam keadaan Islam (menyerah diri kepada Allah S.W.T).Maka kedua ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi."

Islam agama indah yang datang daripada Allah S.W.T .Islam menyeru manusia mengenali Allah S.W.T Tuhan Yang Maha Perkasa,Allah S.W.T yang berhak disembah.Islam mengajak manusia beribadat kepadaNya,membesarkan Allah S.W.T,memuji dan mengagongkan Allah S.W.T kerana Allah S.W.T jualah yang mentadbir hidup manusia dan Allah S.W.T jualah yang meredai Islam sebagai agama umat manusia.

Perlu diingat bahawa Islam bukan sahaja dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W bahkan semua Nabi dan Rasul semenjak Nabi Adam a.s hinggalah Nabi Muhammad S.A.W membawa Islam sebagai pegangan hidup manusia.Para Rasul mendakwah manusia kepada Islam,menerangkan kepada manusia akidah yang betul,meletakkan syariat Islam dan mengajar manusia berakhlak mulia dalam kehidupan.

Sehubungan dengan itu setiap manusia yang mengaku beragama Islam, wajib mempunyai akidah yang betul iaitu akidah Islam dimana kita yakin dan percaya Allah S.W.T Tuhan yang sebenar-benar disembah.Allah S.W.T Tuhan yang mentadbir alam,memberi rezeki kepada manusia dan mempunyai sifat-sifat yang wajib bagiNya.Kemudian Islam menyuruh manusia dengan suruhan yang wajib supaya beramal dengan segala peraturan Islam dan berakhlak dengan akhlak Islam.Ini adalah bagi meletakkan manusia itu berada dalam rahmat dan hidayah Allah S.W.T.
________________________________________

ISLAM SEBAGAI AD-DIN

Allah telah memberi pengakuan bahawa Islam adalah agama yang diredai Nya dan amat sesuai dijadikan panduan dan ikutan kepada manusia.Islam adalah agama yang berbeza dengan agama-agama lain.Islam merupakan al-Din iaitu suatu cara hidup manusia.Apabila Islam itu dinobatkan suatu cara hidup manusia ini bermakna Islam meletakkan beberapa garis panduan dan peraturan hidup dalam memandu kehidupan manusia.Jadi manusia hendaklah mengikuti budaya hidup Islam.

Mana-mana budaya atau cara hidup yang tidak diakui oleh Islam maka cara hidup yang sedemikian adalah batil dan tidak boleh menjamin kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat.Begitu juga dengan adat-adat yang diguna pakai oleh sebilangan masyarakat hari ini.Kalau adat-adat yang diamalkan sejak nenek moyang kita itu menyeleweng dari landasan Islam maka adat-adat tersebut tidak boleh dipakai dan dilarang oleh Islam.
Bila Islam itu dijadikan cara hidup,adakah hidup kita ini mengikut Islam?.Cuba kita renung sejenak,adakah cara kita menguruskan diri kita ,rumahtangga kita mengikut Islam?.Adakah hubungan social kita hari ini berpaksikan Islam?.Ini semua perlu kita kaji balik untuk mendapat jawapan yang baik kerana jika berlaku kepincangan dalam pengurusan kita ini bermakna cara yang kita gunakan adalah salah dan lari daripada kehendak Islam.

Kita sudah nampak mana-mana masyarakat yang ada di dunia hari ini yang tidak meletakkan Islam sebagai cara hidup pastinya akan kucar kacir,porak –peranda,terjerumus dalam kehancuran dan gagal meletakkan manusia dalam kesejahteraan.Oleh yang demikian sebagai muslim mukmin kepada Allah S.W.T,sewajarnyalah menerima cara hidup Islam dalam mengatur corak hidup manusia.
Allah S.W.T telah menegaskan bahawa Dialah telah sempurnakan kepada umat manusia agama Islam sebagai cara hidup manusia.FirmanNya yang berbunyi:

" Hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu iaitu Islam dan Aku kurniakan nikmat kepada kamu dan Aku reda Islam itu agama kamu.
( Surah al-Maidah ayat : 3)

Sehubungan dengan itu,cara kita menguruskan diri kita, anak-anak kita serta masyarakat dan sebagainya mestilah berjalan sejajar dengan prinsip hidup Islam.Sebagai contohnya,seorang suami yang juga ketua keluarga wajib memelihara ahli keluarga dan mengajar agama Islam dan cara hidup Islam agar kita semua selamat di akhirat nanti sebagaimana firman Allah S.W.T

" Wahai orang –orang yang beriman peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari seksaan api neraka.
( Surah al-Tahrim ayat: 6 )

Dalam pada itu Islam telah memberitahu manusia bahawa suatu hari nanti mereka akan dibangkitkan selepas mati untuk menerima pembalasan dari apa yang mereka lakukan di dunia.Oleh yang demikian Islam telah memberi pengakuan dan jaminan bahawa manusia yang beragama Islam dan beriman dengan segala Rukun Islam dan Rukun Iman akan mendapat nikmat Syurga yang Allah S.W.T janjikan kepada manusia.
Pengikut-pengikut agama lain selain agama Islam tidak mendapat nikmat kebahagian malah mendapat azab seksaan api neraka.Firman Allah.

:" Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh sesungguhnya bagi mereka Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai………."
( Surah al-Baqarah ayat : 25 )

Justeru itu Allah S.W.T mengutuskan Rasulullah S.A.W dengan bimbingan al-Quran untuk menjadi panduan hidup manusia di mana Allah S.W.T tidak menzalimi manusia dan makhlukNya tetapi manusia sendiri yang menzalimi diri sendiri.
Dalam hubungan sosial kita,Islam meletakkan asas-asas kukuh dalam pergaulan hidup manusia seharian.Batasan-batasan pergaulan antara lelaki dengan perempuan telah digariskan oleh Islam agar manusia tidak melakukan dosa dan melanggar syariat hukum Allah S.W.T.

Sudah jelas kepada kita,sekiranya pergaulan hidup kita dipengaruhi oleh budaya dan cara hidup yang bertentangan dengan Islam contohnya cara hidup barat yang sesat pasti masyarakat yang mengikutnya menjadi macam mereka yang diikuti baik cara berpakaian ,cara bercakap,adab dan tingkahlaku, muamalat ,social dan seumpamanya.
Inilah yang terjadi kepada generasi kita hari ini yang terpengaruh dengan cara hidup barat yang liar yang tidak diharuskan oleh Islam.Masalah gejala social seperti zina,bohsia,budaya lepak ,anak luar nikah,masalah dadah ,arak,judi dan sebagainya adalah berpunca daripada sikap tidak ingin menjadikan Islam sebagai cara hidup serta tiada bimbingan hidup Islam.

Cuba kita lihat corak hidup Islam yang dipraktikkan oleh Baginda S.A.W di Madinah.Apabila masyarakat Madinah pada masa itu hidup dalam lingkungan roh Islam dan menjadikan Islam cara hidup manusia,maka kita dapati masyarakat itu hidup aman damai,mentauhidkan Allah S.W.T,hidup bekerjasama,tidak wujud perkara-perkara yang menyalahi peraturan Islam.Bahkan kalau ada perkara yang mungkar terus ditegah dan dijatuhkan hukuman dengan tujuan mendapat keredaan Allah S.W.T supaya di akhirat kelak mendapat keampunan dan rahmat Allah S.W.T kerana kebahagian yang hakiki ialah hidup manusia di akhirat.

Sebagai agama yang menjadi tunjang asas kehidupan manusia dan yang mencorak kehidupan manusia,Islam telah menyatakan dan menerangkan sesuatu itu sama ada halal atau haram.Ini bertujuan untuk mengelakkan manusia terjerumus dalam kehinaan.Sabda Rasulullah S.A.W

" Sesungguhnya yang halal itu nyata dan haram itu nyata…………."

Kalau dibandingkan dengan ajaran-ajaran agama lain,ternyata jauh berbeza dengan ajaran agama Islam dari segi hukum hakam,soal pergaulan hidup masyarakat.Ajaran agama yang lain tidak menekankan soal halal dan haram.Sebagai contnya,riba,rasuah,pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan,soal makan minum dan sebagainya tidak ada undang-undang yang boleh memberi manfaat kepada manusia.Islam menetapkan sesuatu itu halal atau haram kerana Islam ingin menyelamatkan akidah manusia daripada terjerumus ke lembah kehinaan dan dosa yang tidak dapat membawa manusia mencari jalan yang benar.

Jelaslah apa yang disyariatkan oleh Islam adalah semata –mata untuk membawa manusia hidup sejahtera dan kita selalu berdoa siang dan malam untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.Firman Allah S.W.T

" Dan di antara mereka yang berkata, Wahai Tuahanku kurniakanlah kami kebaikkan di dunia dan di akhirat dan lindungilah kami dari seksaan api neraka.
( Surah al- Baqarah ayat:201 )

Cara hidup yang dianjurkan oleh Islam adalah yang terbaik dan terindah yang tiada tolak bandingnya dengan ajaran-ajaran agama lain.Semasa zaman jahiliyyah dahulu, kita dapati masyarakat hidup dengan tiada nilai-nilai murni,tiada kesejahteraan hidup,tiada jaminan untuk mengecap kebahagian, hidup dalam ketakutan,huru hara,maksiat berleluasa dan sebagainya.Kita dapati yang kaya berkuasa,yang miskin dijadikan hamba abdi,yang kuat menindas yang lemah,yang berkuasa membuat kejahatan dibiarkan tetapi yang miskin membuat kejahatan diseksa.Ini berlaku adalah kerana tidak ada panduan hidup yang hakiki dan setiap puak ada undang-undang tersendiri yang boleh dipinda-pinda mengikut hawa nafsu mereka.

Apabila datang agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W,Islam mengubah corak hidup manusia kepada cara hidup berasaskan agama Islam yang meletakkan asas akidah kepada Allah S.W.T dan akhlak Islam sebagai pakaian hidup orang Islam.
Islam menyatakan bahawa semua manusia sama sahaja kecuali orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah sebagaimana firmanNya:

" Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah S.W.T ialah yang bertaqwa.
(Surah al-Hujurat ayat:13 )

Islam mengatur hidup manusia dengan penuh bijaksana dan penuh keadilan,mengajar manusia nilai-nilai mulia,mengharamkan penindasan,haramkan maksiat,haramkan syirik kepada Allah S.W.T,menyarankan hidup bersatu padu,tolong menolong dan mewujudkan masyarakat madani yang murni yang mendapat hidayah Allah S.W.T.
________________________________________

No comments:

Post a Comment