Orang Tamak Selalunya Gagal
Bismillahirrahmanirrahim
Allah SWT berfirman:
إن الله هو الرزاق ذو القوة المتين
Ertinya:
"Sesungguhnya Allah Dialah Maha pemberi rezki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh." (Az-Zariyat: 58)
وكأين من دآبة لا تحمل رزقهاالله يرزقها وإياكم وهو السميع العليم
Ertinya:
"Dan berapa banyak binatang yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezkinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezki kepadanya dan kepadamu dan Dia Maha mendengar lagi Maha mengetahui." (Al-Ankabut: 60).
Wahai orang-orang yang beriman, pada perbahasan yang lalu kita sama-sama telah mengetahui bagaimanakah permusuhan itu mendatangkan bahaya yang sangat besar. Ketahuilah, bahawasanya sifat tamak adalah jua suatu penyakit, yang padan sebagai penyakit, amat berbahaya bagi kehidupan yang bertema keislaman. Benar, sifat tamak sendiri merupakan kegagalan, penyakit dan kehinaan. Sifat inilah yang akan menyebabkan manusia tidak akan memperolehi sesuatupun, melainkan kehinaan.
Bukti paling nyata yang menunjukkan bahawa sifat tamak itu berbahaya adalah sebagaimana yang telah terjadi terhadap kaum Yahudi. Mereka menderita kehinaan dan kerendahan, akibat daripada sifat tamak mereka untuk mendapatkan kekuasaan di dunia ini. Tiada satu kaum pun yang memiliki sifat tamak melebihi mereka.
Sifat tamak menampakkan pengaruh buruknya mulai dari peribadi diri hinggalah alam seluruhnya. Sedangkan mencari rezeki yang disertai dengan rasa tawakkal (berserah diri) kepada Allah SWT merupakan sesuatu yang membawa kepada ketenangan, kedamaian serta menampakkan pengaruh-pengaruh positifnya di seluruh alam.
Kita akan mendatangkan sebuah contoh; Tumbuh-tumbuhan dan pepohon adalah salah satu makhluk hidup. Ia berbuah, tetapi juga memerlukan rezeki atau makanan bagi dirinya sendiri. Namun ternyata rezekinya tak pernah putus, sedangkan dirinya hanya berdiam diri dan tegak di tempatnya masing-masing. Pohon itu kelihatan sangat qana'ah dan bertawakkal kepada Allah SWT. Sama sekali ia tidak menampakkan sikap tamak. Walaupun demikian, pohon ini mengatasi makhluk hidup lain seperti binatang dan manusia dalam memperkembang-biakan dan pemeliharaan anak-anaknya.
Sedangkan binatang, ia hanya akan memperoleh makanannya setelah berusaha dengan keras. Dan makanan yang diperolehnya pun sedikit, tidak seberapa dan kurang untuk memenuhi keinginannya. Itu terjadi kerana binatang itu mengejar makanannya dengan penuh tamak; keinginannya sangat kuat untuk mendapatkan makanan itu. Kita sendiri telah memerhatikan di dunia binatang, bahawa binatang-binatang yang masih kecil dan lemah akan mendapatkan makanannya dengan sempurna. Itu kerana sifat dan kelemahan mereka telah melahirkan sifat penyerahan diri hanya kepada Allah SWT semata-mata. Maka dengan sikap seperti itu, Allah SWT mengirimkan rezeki yang telah menjadi bahagian mereka. Rezeki itu dikirim dari khazanah rahmat Allah SWT. Sebaliknya, kiranya kita perhatikan binatang-binatang buas, mereka baru memperolehi makanan setelah berkeinginan kuat disamping mengeluarkan semua tenaga.
Kedua kejadian ini membuktikan bahawasanya sifat tamak (berkeinginan kuat) merupakan penyebab tidak hadirnya rezeki; sedangkan tawakkal dan qanaa'ah merupakan penyebab datangnya kasih sayang dan pemberian Allah SWT. Hal yang sama juga terjadi pada manusia. Lihatlah orang-orang Yahudi, mereka adalah manusia yang paling tamak terhadap hidup. Mereka jua jauh lebih mencintai kehidupan dunia daripada kehidupan akhirat. Bahkan mereka mencintai dunia sebagaimana cinta seseorang yang sedang dilanda asmara. Dalam kecintaan kepada dunia ini, tidak ada yang dapat mengalahkannya.
Oleh yang demikian, tidak berlebihan sekiranya Allah SWT menurunkan kehinaan terhadap mereka. Selain itu, mereka juga selalu menjadi sasaran pembunuhan dan pengusiran dari bangsa-bangsa yang lain. Semua itu mereka alami demi mendapatkan sedikit harta yang diperolehi melalui perniagaan yang penuh riba. Setelah mendapatkan harta yang sedikit itu, mereka juga enggan dan bakhil menginfaknya kecuali sedikit, seakan-akan tugas mereka hanyalah untuk mengumpul harta. Oleh yang demikian dapat kita simpulkan bahawasa sifat tamak merupakan sumber dari segala kehinaan dan kerugian dalam kehidupan manusia.
Banyak sekali kejadian dan peristiwa yang membuktikan bahawa orang yang bersifat rakus terlalu mudah jatuh pada kegagalan, peribahasa ada mengatakan, "Orang tamak selalu rugi" akan benar-benar terjadi, kata-kata yang biasa didengar oleh telinga, bahkan manusia menjadikannya sebagai suatu pedoman dalam kehidupan.
Jikalau begini keadaannya, maka apabila dikau menginginkan harta, maka carilah harta itu dengan sifat qana'ah, bukan sifat tamak. Nescaya harta itu akan datang kepadamu dengan jumlah yang sangat besar.
Dapat kita membuat perumpamaan di antara orang yang qana'ah dan orang yang tamak. Kedua-duanya bagaikan dua orang yang menghadiri sebuah majlis jamuan makan yang telah dianjurkan oleh seorang tokoh besar. Salah seorang dari keduanya berkata, "Seandainya pemilik rumah ini mempersilakan aku masuk ke tempat ini untuk berlindung, amat memadai bagiku. Dapat aku berlindung daripada kedinginan udara di luar. Dan sekiranya ia mengizinkan daku menetap walaupun hanya di bilik store amat memadai bagiku.
Sedangkan orang kedua seakan-akan ia merasai bahawa ia punyai hak atas orang lain. Seakan-akan manusia harus berdiri menghormatinya. Maka di dalam hatinya ia berkata, "Pemilik tempat ini harus menyediakan tempat yang paling bagus dan mulia untuk diriku". Demikianlah, ia memasuki tempat itu membawa seribu keinginan dan kerakusan, serta mencari tempat yang paling bagus untuk dirinya. Tetapi ternyata pemilik tempat itu malah memindahkannya, dan mempersilakannya untuk duduk di tempat yang paling rendah derajatnya.
Lalu tersimpan sebuah perasaan marah di dalam hatinya; kecewa dan marah atas sikap dan tindakan pemilik tempat itu. Walhal pada saat itu dirinya harus mengucapkan terima kasih kepada pemilik tempat itu kerana telah mengizininya masuk. Ia bahkan berlawanan dengan yang seharusnya ia lakukan; ia mengkritik pemilik tempat itu. Sehingga pemilik tempat itu merasai bahawa tamunya memiliki sifat dan perilaku yang tidak seharusnya dimiliki.
Sedangkan orang pertama memasuki tempat itu dengan wajah penuh rendah hati, dan memilih untuk menetap di tempat yang rendah darjatnya. Sikap menerima apa adanya ini tentunya amat disenangi oleh pemilik tempat, hatinya bahagia hingga akhirnya ia memindahkan orang yang pertama itu dari tempatnya yang rendah ke tempat yang paling baik dan mulia. Dengan pemindahan dan kemuliaan ini, orang yang pertama ini bertambah banyak mengucapkan terima kasih dan bertambah redhanya.
Demikianlah dunia, yang dijadikan Allah SWT sebagai tempat jamuan. Permukaan bumi ini bagaikan meja hidangan yang dipersiapkan Allah SWT untuk menghidangkan kenikmatan-kenimatanNya. Darjat-darjat rezeki dan tingkat-tingkat kenikmatan seumpama jenis-jenis kerusi yang berbagai-bagai tingkat dan harganya.
Sesungguhnya akibat dan pengaruh buruk dari sifat tamak dapat dirasakan oleh setiap manusia baik dalam pekerjaan yang besar mahupun kecil. Misalnya, setiap manusia pasti akan berasa marah ketika ada seseorang meminta-minta dan memaksa agar memberikan padanya wang yang banyak. Dan oleh kerana marahnya itu, orang itu bahkan akhirnya tidak memberinya wang sama sekali. Sedangkan sekiranya ada peminta yang diam dan bersikap menerima apa adanya, setiap orang pasti akan menaruh rasa kasihan dan akan memberinya wang yang banyak dengan penuh keridhaan.
Misal lain, sekiranya dikau berkeinginan besar untuk dapat tidur di malam hari yang terlalu sukar untuk tidur, maka dikau akan tertidur akhirnya, sekiranya dikau abaikan keinginanmu itu. Tapi sebaliknya, jikalau dikau teruskan berfikir keadaan dikau yang sukar tidur itu, dan semakin besar keinginanmu untuk tidur sambil berkata, "Aduh, bila aku boleh tidur?" "Di manakah boleh ku tidur?" Jika demikianlah keadaannya, maka tidur itu tidak akan dikau perolehi sama sekali.
Misal yang lain lagi, sekiranya dikau menunggu kedatangan seorang teman, dan temanmu itu tidak jua kunjung tiba setelah lama dikau menunggu. Lalu dikau berasa resah-gelisah sambil berkata, "Kenapa ia masih belum kunjung tiba?" "Apakah yang telah berlaku padanya?" Dengan keadaan sedemikian, maka keinginanmu yang besar untuk bertemu itu akan segera menghilangkan kesabaranmu untuk terus menunggu; dikau akan segera meninggalkan tempat menunggu dengan perasaan kecewa. Walhal tidak berapa lama setelah itu dia muncul, tetapi hasrat dan keinginanmu telah hilang, iaitu sebuah pertemuan.
Rahsia dan hikmah-hikmah yang tersimpan dalam permisalan di atas bagaikan sepotong roti, iaitu wujudnya sepotong roti itu adalah dengan melalui berbagai proses, bermula dari penanaman gandum, penuaian, pengisaran, pengulian dan seterusnya pembakaran. Maka demikian jua terjadinya segala sesuatu, pastinya akan berkait dengan sesuatu hikmah kesabaran serta melalui berbagai tahap kejadian. Akan tetapi seorang yang tamak, kerana sifat tamaknya, ia tidak mampu bersabar dalam segala sesuatu, tidak menghormati serta berkeinginan untuk terus memperolehi tingkatan-tingkatan yang tertinggi tanpa perlu menghadapi dan melalui tahap-tahap yang sebelumnya. Dengan itu ia boleh jadi terus melompati tahap-tahap yang seharusnya ia lalui hingga akhirnya ia terjatuh, atau meninggalkan satu tingkatan sehingga perjalanan itu kurang dan dia tidak sampai pada sesuatu yang dituju.
Wahai saudaraku yang terlalu sibuk memikirkan hal ehwal keduniaan, dan yang terperangkap dalam sifat haloba terhadap dunia, inginku bertanya, "Mengapa dikau rela untuk mendapatkan kehinaan hanya kerana sifat tamakmu terhadap dunia?, walhal padanya tersirat sesuatu yang berbahaya? Mengapa dikau melakukan demikian tanpa mahu memandang apakah harta yang dikau perolehi tersebut halal atau haram? Mengapa dikau lakukan itu walaupun dikau harus mengorbankan perkara-perkara besar dan berharga untuk keperluan dan kehidupan akhiratmu? Mengapa dikau lakukan itu sehingga dikau meninggalkan salah satu rukun Islam yang penting, iaitu membayar zakat? Zakat terlalu penting untukmu kerana, selain rukun Islam, zakat merupakan salah satu pintu bagi setiap manusia untuk mendapatkan keberkahan dan kekayaan dari Allah SWT. Orang-orang yang tidak melaksanakan kewajiban membayar zakat untuk harta mereka, nescaya mereka akan kehilangan dan membuang harta itu untuk perkara-perkara remeh-temeh dan tiada sebarang manfaatnya, atau mungkin sahaja turunnya sesuatu musibah yang menghilangkan harta itu dari genggaman tanganmu.
Pada suatu hari, dalam sebuah mimpi yang banyak mengandungi kebenaran, aku ditanya. Hal itu terjadi pada tahun kelima setelah tercetusnya Perang Dunia Pertama. Pertanyaan itu adalah: "Rahsia apakah yang tersimpan pada kemiskinan dan kemelaratan yang diderita oleh umat Islam? Rahsia apa yang tersimpan pada kerosakan dan hilangnya harta mereka? Rahsia apakah yang tersimpan pada kesengsaraan dan penderitaan yang dirasakan oleh anggota tubuh mereka?"
Dalam mimpi tersebut aku menjawab pertanyaan-pertanyaan itu dengan jawapan berikut:
Allah SWT telah mewajibkan kita membayar sebahagian harta kita. Pada jenis harta tertentu, kita diwajibkan membayar sepersepuluhnya. Pada jenis harta yang lain, kita diwajibkan membayar seperempat puluhnya. Demikian itu disyariatkan agar kita memperoleh doa-doa ikhlas yang dilantunkan oleh fakir miskin, dan menyelamatkan kita dari perasaan-perasaan marah dan iri dalam hati mereka.
Akan tetapi kita menggenggamkan tangan-tangan kita, kerana terlalu sayangkan harta sehingga tidak mahu membayar zakatnya. Maka Allah SWT menarik zakat yang bertumpuk-tumpuk itu secara paksa, dan dengan nilai yang telah berubah, iaitu tiga per empat atau bahkan empat per lima dari harta-harta kita.
Allah SWT juga meminta kita untuk berpuasa dan berlapar-lapar untukNya. Rasa lapar itu mengandungi dalamnya faedah-faedah dan hikmah-hikmah yang jumlahnya mencapai tujuh puluh faedah. Allah SWT memerintahkan kita untuk melaksanakannya satu bulan penuh dalam setiap tahun.
Akan tetapi jiwa kita berasa sombong dan kasihan pada diri kita dengan cara yang tidak benar. Kita enggan merasai lapar yang indah dan hanya untuk sementara waktu sahaja. Kerana sikap kita yang tidak tunduk dan patuh dengan perintah Allah SWT inilah, akhirnya Allah SWT menjatuhkan hukuman yang hampir menyerupai puasa dan kelaparan, berupa musibah-musibah yang jumlahnya mencapai tujuh puluh musibah. Musibah itu datang tanpa tidak kita kehendaki selama lima tahun berturut-turut. (Peperangan Dunia Pertama)
Demikian juga Allah SWT memerintahkan kita untuk melaksanakan semua perintah dan aturanNya. Aturan-aturan itu sangat indah, penuh keberkatan, dan dapat dilaksanakan hanya dalam satu jam dari dua puluh empat jam yang telah kita miliki sehari semalam.
Akan tetapi kita berasa malas untuk melaksanakan shalat-shalat dan doa-doa itu. Kita telah sia-siakan waktu itu seperti waktu-waktu lain. Maka dari itu Allah SWT menebuskan kekurangan dan keburukan itu dengan harus melaksanakan perintah dan aturan dalam peperangan. Dalam peperangan banyak mengandungi perintah dan aturan sebagaimana dalam ibadah seperti shalat. Dan itulah yang kita telah rasai dalam tempoh lima tahun.
Demikianlah jawapanku dalam mimpi tersebut, setelah itu aku terjaga, lalu berpikir dan merenung.. hingga akhirnya dapat kusimpulkan sesuatu hakikat yang sangat penting, iaitu bahawasanya, ada dua kalimat yang menjadi sumber dari segala kesengsaraan manusia berupa keruntuhan akhlak, hilangnya nilai-nilai dalam masyarakat, dan sumber dari segala kekacauan dan pertikaian dalam masyarakat. Kedua kalimat itu telah kita jelaskan dikala kita membahaskan tentang perbandingan di antara peradaban modern dan hukum-hukum Al-Qur'an.
Dua kalimat itu ialah:
Kalimat pertama, "Jika aku telah kenyang, maka tidak mengapa jika orang lain mati kelaparan."
Kalimat kedua, "Bekerjalah kamu agar aku dapat makan. Berletih-letihlah kamu agar aku dapat berehat."
Sesuatu yang menzahirkan kedua kalimat ini dan menumbuh kembangkannya ialah riba dan tidak mengeluarkan zakat.
Satu-satunya rawatan dan ubat yang dapat menyembuhkan dua penyakit masyarakat ini ialah penerapan akan kewajipan membayar zakat hingga masyarakat semua melaksanakannya, kemudian larangan berinteraksi dengan riba. Kerana pentingnya membayar zakat tidaklah hanya bagi peribadi-peribadi dan kelompok-kelompok masyarakat tertentu sahaja, bahkan ia merupakan salah satu faktor terpenting dalam membangun kebahagiaan kehidupan manusia dan kesejahteraan mereka secara keseluruhannya, zakat merupakan tiang asas yang berpengaruh bagi tercapainya hakikat sebenar kehidupan manusia.
Sesungguhnya manusia itu terbahagi kepada dua taraf, orang-orang khusus dan orang-orang awam. Dalam perkara ini, zakat merupakan suatu jaminan kasih sayang dan pemberian dari orang-orang khusus kepada orang-orang awam, dan juga jaminan penghormatan dan ketaatan dari orang-orang awam kepada orang-orang khusus.
Tanpa adanya jaminan seperti itu, maka mudahlah bagi orang-orang khusus itu mendhalimi orang-orang awam, dan mudahlah munculnya kebencian dan pembangkangan di hati orang-orang awam terhadap orang-orang khusus. Dengan kondisi seperti itu, maka kedua-dua tingkat dan golongan manusia ini akan terus berada dalam perbezaan dan pertikaian. Pertentangan antara keduanya akan terus terjadi. Hingga akhirnya terus berkembang menjadi peperangan yang sebenarnya di antara para buruh dan para pemegang modal seperti yang pernah terjadi di Rusia.
Wahai orang-orang yang punyai hati yang mulia dan perasaan, wahai orang-orang yang masih punyai keinginan untuk memberi dan berbuat kebaikan. Jikalau kalian tidak berniat terhadap pemberian-pemberianmu itu dengan niat membayar zakat, dan tidak langsung menyebut dengan nama zakat itu, maka akan terjadi tiga perkara yang berbahaya, atau pemberianmu itu hilang begitu sahaja tanpa punyai erti sama sekali.
Demikian itu terjadi kerana jikalau dikau tidak menamakan pemberian itu dengan zakat di jalan Allah SWT dan demi-Nya, maka segala pemberian dikau merupakan hanya dari kemuliaan hati dan perhatian pribadi darimu. Apabila demikian terjadi, maka orang-orang fakir dan miskin selama-lamanya akan hidup di bawah kasih sayang dan kemuliaan hatimu, dan kalian tidak akan mendapat doa-doa ikhlas dari mereka. Lebih buruk lagi, sekiranya pemberian itu membawa pengertian dengan mengingkari nikmat Allah SWT, kerana kalian telah menganggap bahawa diri kalian sebagai pemilik harta yang sebenarnya. Walhal kalian sebenarnya hanyalah orang-orang yang diamanahkan ke atas harta tersebut; dan sedia untuk diperintahkan bagi membahagikan harta Allah SWT itu kepada hamba-hambaNya.
Akan tetapi sekiranya kalian melaksanakan segala pemberian itu di jalan Allah SWT dengan membawa nama zakat, maka dikau akan perolehi pahala dan balasan yang besar, kerana kalian telah melakukannya di jalan Allah SWT. Kalian jua bererti telah melaksanakan kesyukuran kepada-Nya atas segala nikmat yang telah disempurnakan-Nya atas kalian. Selain itu, kalian jua mendapat doa-doa mustajab yang dilantunkan oleh orang-orang yang sangat memerlukan bantuan itu, kerana mereka memanjatkan segala doa tersebut tanpa keterpaksaan dan tidak bersikap dengan sikap yang dibuat-buat di depan kalian; mereka juga tidak akan berasa takut terhadap kalian, sehingga kehormatan mereka terjaga dan doa-doa mereka menjadi ikhlas dan mustajab.
Dengan penjelasan ini kita dapat mengetahui betapa jauhnya perbezaan di antara membayar zakat dan memberi derma yang banyak sekali bentuknya. Pemberian-pemberian yang tidak mengatasnamakan zakat itu ternyata mempunyai bahaya yang banyak seperti timbulnya perasaan riya', ingin namanya disebut-sebut, menindas perasaan orang miskin. Sedangkan membayar zakat mempunyai banyak sekali kebaikan dan manfaat jika diniatkan untuk jalan Allah SWT. Di antaranya adalah keutamaan melaksanakan salah satu kewajiban dari Allah SWT, mendapatkan pahala dari-Nya, mendapatkan keikhlasan dan mendapatkan doa-doa yang mustajab. Lihatlah perbedaan yang sangat jauh antara keduanya!
قالوا سبحانك لا علم لنا إلاماعلمتنا إنك أنت العليم الحكيم
Ertinya:
"Maha suci Engkau, tidak ada yang Kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; Sesungguhnya Engkaulah yang Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Al-Baqarah: 32).
Ya Allah, berilah kerahmatan kepada Rasulullah SAW yang telah bersabda, "Seorang mukmin kepada mukmin yang lain adalah bagaikan bangunan yang saling menguatkan."
Sabdanya lagi, "Sifat qana'ah adalah perbendahaaran yang tidak akan pernah habis."
Juga kepada keluarga, dan para sahabatnya radiAllahu,anhum, amin. Walhamdulillahi Rabbil 'Alamin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment